Tambang murah kereta sapu warga asing
JIKA sebelum ini kita hanya mendengar pemandu tempatan melanggar undang-undang dengan menyediakan perkhidmatan kereta sapu, namun baru-baru ini terbongkar warga asing turut berani melakukan kegiatan haram terbabit.
Mereka dikatakan menawarkan perkhidmatan kereta sapu dengan tambang lebih murah melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.
Dibuat seakan-akan e-hailing, mereka menawarkan caj serendah RM5 untuk lima kilometer pertama.
Kegiatan itu berjaya dihidu melalui operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kemudian mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu terbabit.
Apa yang mengejutkan, rata-rata daripada mereka tidak mempunyai lesen memandu, sebaliknya lesen digunakan adalah milik persendirian yang disewa dengan tujuan mencari pendapatan.
Melalui pendedahan tersebut, kegiatan terbabit berkemungkinan sudah lama berlaku dalam kalangan warga asing.
Apatah lagi, taktik menawarkan harga serendah itu, sudah tentu berbaloi di pihak pengguna. Biarpun soal nyawa dan keselamatan mereka diletak ke tepi.
Ia turut diakui seorang penuntut wanita yang mengambil perkhidmatan kereta sapu tersebut melalui laporan media pada 17 Januari lalu yang memberitahu khidmat itu ditempah melalui kumpulan Telegram meskipun sedar terdedah dengan bahaya.
Ini kerana dia mengakui tambang ditawarkan lebih murah berbanding pengangkutan awam lain.
Selain itu, pemandu-pemandu terbabit juga licik kerana bijak mencari lokasi strategik dengan menjadikan universiti dan kolej pengajian swasta sebagai lubuk.
Dengan menawarkan harga 'rahmah', pelajar dilihat sebagai sasaran mudah untuk mereka dapatkan pelanggan.
Bagaimanapun, dengan harga serendah itu, bukan hanya pelajar, mana-mana pengguna terutama yang tidak menghiraukan soal keselamatan dan peraturan mungkin melakukan perkara sama.
Apatah lagi dengan bebanan kos meningkat saban hari, sudah tentu isu mahal murah akan diambil kira.
Dengan tawaran dan permintaan baik daripada pengguna, penulis percaya keadaan ini mungkin menarik lebih ramai warga asing untuk menjalankan kegiatan terbabit.
Jangan pula terkejut jika warga asing memonopoli perkhidmatan kereta sapu ini suatu hari nanti, sekiranya tindakan membendung tidak dilakukan dari awal.
Dengan cabaran hidup di negara orang, warga asing sudah tentu sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan dan memastikan kelangsungan hidup.
Bagaimanapun, kita berharap pihak berkuasa dapat membanteras kegiatan ini daripada berleluasa.
Turut dibimbangi, penglibatan warga asing dalam memberi khidmat seumpama itu akan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah seperti menyeludup masuk lebih ramai warga asing dalam negara.
Dalam masa sama, pihak yang memberi sewa lesen dan kenderaan perlu diambil tindakan sewajarnya supaya kes-kes sedemikian tidak berulang pada masa akan datang.
Ia juga melibatkan keselamatan pengguna dan kita tidak mahu nyawa mereka menjadi taruhan demi kepentingan pihak yang melanggar peraturan.
Sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, sudah tentulah pelanggan kereta sapu terbabit berisiko ‘mati katak’ jika berlaku perkara tidak diingini.
Bagaimanapun, usaha untuk membendung kegiatan terbabit tidak semudah sebagaimana dikata sekiranya pengguna masih bersikap tidak kisah menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Mereka perlu sedar bahawa mereka tidak dilindungi sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.
Dalam masa sama, kualiti pengangkutan awam perlulah dipertingkatkan dan diperbanyakkan oleh pihak kerajaan bagi tujuan menampung serta memenuhi permintaan pengguna yang semakin hari semakin bertambah.
Dengan perkhidmatan pengangkutan mencukupi dan efisien, ia juga mampu mengelakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan yang boleh menyumbang kepada berlakunya kegiatan melanggar undang-undang secara lebih meluas.
* W Saidatul Fadzilah W Najemudin ialah Editor Pengisian Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!