Imbangi ilmu dunia dan akhirat

A
A
A

MINGGU ini ramai yang sibuk dengan urusan persekolahan anak-anak. Apatah lagi bagi mereka yang menghantar anak buat pertama ke alam persekolahan dengan pelbagai kerenah dan menuntut kesabaran.

Alhamdulillah, nampak jelas bahawa ibu bapa kini lebih sedar dan komited memastikan anak-anak mendapat pendidikan ilmu pengetahuan secara formal sejak kecil. Pihak pemerintah terus menjadikan pendidikan sebagai agenda utama pembangunan insan dan negara. Maka, pendidikan anak-anak perlu diutamakan dan perlu dirancang dengan teliti.

Kita juga perlu mengimbangi ilmu dunia dan agama. Umat Islam yang berilmu akan mendapat kejayaan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kerana menuntut ilmu merupakan suatu kewajipan bagi setiap umat Islam.

Dengan ilmu, kita dapat mengenal ALLAH SWT, dapat melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Bahkan sebagai khalifah di muka bumi ini juga memerlukan ilmu supaya dapat mentadbir dan memakmurkan bumi ALLAH SWT ini seperti yang dikehendaki oleh-Nya.

ALLAH meletakkan darjat yang tinggi dan istimewa bagi orang yang berilmu dan sedang menuntut ilmu.

Pentingnya menuntut ilmu sehingga ALLAH SWT memberi kelonggaran kepada orang yang menuntut ilmu agar tidak turut serta pergi berperang supaya tinggal dan berperanan mendidik serta membimbing orang lain.

ALLAH SWT mengangkat darjat orang-orang beriman berbanding dengan yang tidak beriman. Dalam kalangan mereka yang beriman pula, ALLAH SWT mengangkat darjat mereka yang berilmu.

Sebenarnya tiada alasan untuk seseorang itu tidak menuntut ilmu. Jalan menuntut ilmu sentiasa terbuka luas. Banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pengajian sepanjang hayat dengan menawarkan kursus bersijil dan diploma dalam pelbagai bidang termasuk pengajian agama.

Artikel Berkaitan:

Malah, pihak masjid dan surau tidak jemu-jemu mengadakan kuliah dan daurah kitab setiap hari. Begitu juga ilmu boleh didapati daripada ceramah di televisyen dan radio serta media massa oleh para guru dan pendakwah yang bertauliah.

BerguruWalau bagaimanapun, kita hendaklah belajar daripada guru yang diakui ilmunya. Malah, dalam Islam digalakkan agar jika seseorang ingin menuntut ilmu perlu berguru dan merujuk pada pakar atau bidangnya.

Ia penting kerana pada zaman sekarang ini, masyarakat terdedah dengan fahaman pelik, ilmu songsang dan sebagainya.

Malah, dalam media sosial banyak sumber ilmu yang terpapar dan secara percuma untuk semua. Namun sejauh manakah ilmu itu betul-betul mempunyai disiplin, peraturan, perakuan seta kesahihannya?

Terdapat juga sumber ilmu yang menjadi ekstrem, melampau, taksub dan pelbagai lagi. Maklumat mengenai ekstremisme seperti Daesh, ISIS disebarkan melalui media sosial. Contohnya terdapat maklumat yang sengaja dipesong atau dipalsukan kebenarannya sehingga boleh menjejaskan akidah dan kepercayaan.

Kita perlu ada pengetahuan mengenai celik media sosial agar tidak tergoda dan terpengaruh dengan muslihat di sebalik maklumat yang dipaparkan.

Kita masih lagi memerlukan logik dan reasoning melalui akal budi, pandai membezakan baik buruk, benar dan palsu. Maka, cara terbaik dan jalan penyelesaiannya adalah dengan memerlukan kepada ilmu.

Ilmu juga amat mudah didapati dengan membaca. Pilihlah bahan bacaan berunsur keilmuan dan keagamaan, bukan hiburan semata-mata.

Sebenarnya menuntut ilmu tiada penghujungnya. Bagi yang sudah bersara, banyak ruang dan peluang dalam mendalami pelbagai bidang ilmu.

Justeru, umat Islam hendaklah meyakini bahawa menuntut ilmu adalah sebahagian daripada perintah ALLAH SWT dan cahaya kehidupan sehingga ke akhir hayat.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!