[VIDEO] Wanita bertopeng jadi tarikan gerai 'kuih asap kelong'

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Inisiatif pasangan suami isteri menyediakan topeng kepada pekerjanya untuk digunakan ketika proses membakar adunan kuih tradisional di Kampung Padang Tengir, Manir di sini menampilkan kelainan dan tarikan luar biasa.

Pengusaha kuih bakar, Nor Azilah Ali, 41, berkata, alatan dikenali sebagai 'particulate respirators' dan 'goggle' itu digunakan kerana tidak tahan berdepan bahang api dan asap tebal sepanjang proses membakar kuih tersebut.

Menurutnya, idea untuk memakai alatan itu dicetuskan oleh adik iparnya yang bekerja dalam sektor minyak dan gas (OAG) sebelum alatan itu dipakaikan kepada pekerjanya pada 2021.

"Proses membakar kuih ini memakan masa yang agak lama sekitar empat hingga lima jam sehari.

"Jadi disebabkan tak tahan dengan asap dan bahang api itu, saya dan suami mula memikirkan inisiatif supaya pekerja kami dapat bertahan," katanya ketika ditemui pemberita di gerai kuihnya di sini, pada Rabu.

Nor Azilah
Nor Azilah

Nor Azilah berkata, sebelum ini dia membakar sendiri kuih muih ini tanpa gunakan apa-apa alatan.

"Bertahun-tahun saya bakar tanpa gunakan alatan ini.

"Tapi memang berair mata lah sebab tak tahan dengan asap dan bahang api sementara menunggu semua adunan kuih siap dibakar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Azilah yang telah mengusahakan kuih bakar itu sejak 10 tahun lalu dibantu suaminya, Mohd Nurdin Muhammad, 46, dan adiknya Nor Azura, 36, serta pekerja Raja Nurul Wahida Raja Ramli, 38, dan Rosmarliana Mohd Yusof, 28.

Raja Nurul Wahida (kiri) menyediakan kuih beker nyior di gerai yang beroperasi di Kampung Padang Tengir, Manir.
Raja Nurul Wahida (kiri) menyediakan kuih beker nyior di gerai yang beroperasi di Kampung Padang Tengir, Manir.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, walaupun terdapat pelbagai kaedah moden untuk menghasilkan kuih tradisional, legasi kuih bakar yang diusahakan ibu saudaranya, Zainab Ismail, 74, sejak lebih 25 tahun itu masih mengekalkan kaedah pembuatan secara tradisional.

Raja Nurul Wahida (kiri) menunjukkan kuih tradisional akok yang siap dibakar dan sedia untuk dijual kepada pelanggan.
Raja Nurul Wahida (kiri) menunjukkan kuih tradisional akok yang siap dibakar dan sedia untuk dijual kepada pelanggan.

Katanya, kaedah pembuatan secara tradisional itu menghasilkan aroma kuih yang berbeza berbanding yang dibakar menggunakan kaedah moden.

"Kita masih mengekalkan penggunaan kayu api, arang, sabut dan tempurung kelapa bagi menghasilkan bahan bakar yang bersesuaian dengan jenis kuih yang dihasilkan.

"Macam kuih baulu masih boleh gunakan api dari dapur gas untuk jimatkan penggunaan kayu api tapi kuih bakar perlu gunakan bahan bakar dari kayu api kerana pemanasan perlu berlaku bahagian atas dan bawah kuih," katanya.

Antara kuih yang dihasilkan ialah kuih akok yang dijual RM1 setiap sekeping, baker nyior (RM1), baulu (80 sen) dan kuih bakar (RM6) untuk saiz besar dan RM2 bagi setiap empat keping kuih bersaiz kecil.

Menurut Nor Azilah, dia belajar membuat buat kuih-muih itu dalam tempoh yang singkat dan melakukan penambahan dan variasi mengikut kehendak pelanggan seperti mengurangkan rasa manis supaya rasanya sesuai bagi mereka yang tidak gemarkan makanan manis.

"Pelbagai variasi dihasilkan bagi memastikan ia sesuai untuk semua peringkat usia pelanggan yang datang dari seluruh pelosok negara.

"Syukurlah ramai yang datang ke sini selepas ia beberapa kali tular di media sosial. Antara yang datang termasuk pelanggan dari jauh seperti Melaka dan Johor," katanya.

Mohd Nurdin (kanan) melayan pelanggan yang datang membeli kuih di gerainya yang beroperasi di Kampung Padang Tengir, Manir di Kuala Terengganu.
Mohd Nurdin (kanan) melayan pelanggan yang datang membeli kuih di gerainya yang beroperasi di Kampung Padang Tengir, Manir di Kuala Terengganu.

Nor Azilah memberitahu, sambutan luar biasa diterima ketika musim cuti persekolahan dan perayaan dimana pada hari biasa sehingga 18 kilogram (kg) bahan adunan digunakan sementara bagi musim cuti sekolah dan perayaan sekitar 30kg.

"Saya bersyukur dan berharap agar perniagaan ini dapat dikembangkan lagi pada masa akan datang dan dapat mengeluarkan kuih dalam bentuk pembungkusan yang sesuai.

"Saya juga berharap agar resipi dan kaedah pembuatan tradisional kuih-muih ini akan dapat dikekalkan untuk generasi akan datang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!