'Arwah syahid ketika selamatkan 7 mangsa kebakaran'
KOTA KINABALU - Lelaki yang maut ketika menyelamatkan jirannya dalam kejadian kebakaran di Labuan disifatkan sebagai seorang lelaki budiman yang sering membantu orang ramai yang ditimpa kesusahan.
Malah Allahyarham Gillian Donald, 41, turut disifatkan oleh ahli keluarganya sebagai seorang yang menjaga amal ibadahnya sejak dari bangku sekolah lagi.
Menurut hantaran di laman Facebook S N Sherafie Izuan yang mendakwa sebagai sepupu memaklumkan Allahyarham juga dikenali sebagai Enal syahid ketika menyelamatkan tujuh mangsa kebakaran di Merinding Garden, Labuan.
"Beliau syahid semasa bersama-sama menyelamatkan bukan seorang, tapi tujuh mangsa kebakaran berhampiran rumahnya di Merinding Garden, Labuan.
"Innalilahi wa innailaihi rojiun, Al-Fatihah dan salam takziah. Arwah telah sempurna disembahyangkan di Masjid Jamek Likas dan dikebumikan di kawasan perkuburan Islam di Likas, Kota Kinabalu," katanya.
Kongsinya lagi, banyak memori yang dirakam bersama, namun Allahyarham tidak pernah melupakan amal ibadahnya termasuk menjaga amalan solatnya.
"Nostalgia sejak usia muda sama-sama membesar, bersekolah, berkebun, bergaduh, berpuasa, berseronok tetapi satu benda yang paling penting, arwah menjaga solat terutamanya solat Subuh sejak di bangku sekolah menengah.
"Walaupun semasa kecil beliau fobia dan hampir pitam dengan darah, tetapi pernah bertungkus lumus menyelamatkan rakan-rakan sekolah yang terlibat dalam kemalangan bas berhadapan rumah arwah datuk kami di kampung.
"Hari ini beliau dikhabarkan meninggal dunia ketika bersama-sama jiran cuba menyelamatkan mangsa kebakaran berdekatan rumahnya," katanya.
Sehubungan itu, kongsinya lagi, kisah Allahyarham sebagai seorang hero tidak akan dilupakan selama-lamanya.
"Mudah-mudahan ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala permudahkan segala urusan. Ya ALLAH ampunilah arwah, masukkanlah rohnya bersama roh hamba-hambamu yang soleh, amin ya rabbil alamin," tulisnya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, seorang lelaki sanggup bergadai nyawa meredah api untuk menyelamatkan tujuh sekeluarga yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah teres.
Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas disebabkan terlalu banyak terhidu asap ketika menyelamatkan mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!