Konon jumpa kawan, tapi nama ada di 'punch card'
KLANG - Mengaku hanya datang ke sebuah kilang di sini untuk berjumpa rakan.
Itu helah lapuk seorang lelaki warga Bangladesh yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah kilang di Kapar, di sini pada Rabu.
Alasan itu terbongkar selepas pemeriksaan polis mendapati terdapat rekod namanya pada kad pengimbas kerja di premis terbabit.
"Sorry Encik, saya datang jumpa kawan saja.
"Saya bukan kerja sini," dakwa lelaki berusia lingkungan 30-an itu yang ditahan selepas dikejutkan daripada tidur ketika premis tersebut diserbu.
Ketika diminta dokumen, pekerja terbabit hanya menyerahkan pasport, namun gagal menunjukkan permit kerjanya sebelum dia ditahan atas kesalahan imigresen.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi itu mendapati kediaman pekerja asing terbabit agak daif dengan katil yang ada hanya beralaskan kotak dan papan.
Operasi Op Khas Aman 1 bermula jam 2.30 petang itu turut dijalankan di dua kilang lain di sekitar Kapar dengan kekuatan keanggotaan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Terdapat beberapa cubaan pekerja asing melarikan diri selain menyorok di tangki air, namun tindakan itu berjaya dipatahkan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tangkapan melibatkan 66 orang berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk 12 wanita.
"(Seramai) 60 daripada tangkapan disyaki ialah pekerja asing terdiri daripada 31 warga Myanmar, Bangladesh (14), Kemboja (12) dan tiga India.
"Enam lagi pula ialah seorang warga tempatan dan lima warga China disyaki berperanan mengurus dan menggajikan pekerja terbabit," katanya pada Khamis.
Tambahnya, pemeriksaan mendapati tiga kilang yang diserbu ini memproses barang elektronik serta plastik terpakai.
"Tindakan diambil di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!