Imigresen gempur lokasi panas, tahan 125 warga asing

Jabatan Imigresen Johor menahan 85 warga asing kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah.
Jabatan Imigresen Johor menahan 85 warga asing kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Johor menahan 85 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Mahir selepas menggempur lokasi panas di sebuah kilang di Senai di sini pada Rabu.

Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, operasi yang dijalankan pada jam 11 pagi itu melibatkan 100 pegawai Kuasa Bahagian Jabatan Imigresen Johor dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

"Lokasi serbuan adalah sebuah kilang komponen dalam kawasan hotspot di Senai dan tindakan penguatkuasaan diambil susulan maklumat awam terdapat PATI yang disyaki bekerja tanpa permit yang sah di premis berkenaan.

Pegawai imigresen memeriksa warga asing dalam Ops Mahir di sebuah kilang di Senai pada Rabu.
Pegawai imigresen memeriksa warga asing dalam Ops Mahir di sebuah kilang di Senai pada Rabu.

"Dalam operasi tersebut seramai 328 warga asing dan tempatan diperiksa. Seramai 69 lelaki warga negara Bangladesh, tujuh lelaki India, empat lelaki Sri Lanka dan masing-masing dua lelaki serta wanita Myanmar berusia antara 20 sehingga 47 tahun ditahan.

"Turut ditahan seorang wanita tempatan berusia 42 tahun. Dalam operasi tersebut seramai 85 warga asing ditahan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Jelasnya, semua mereka yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak mempunyai pas atau permit kerja yang sah serta tinggal lebih masa.

Katanya, mereka juga melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Baharuddin berkata, bagi wanita tempatan terbabit ditahan bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.

Menurutnya, sebanyak dua notis hadir ke pejabat imigresen dikeluarkan kepada individu-individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan.

Pegawai Jabatan Imigresen Johor melakukan pemeriksaan terhadap pekerja warga asing.
Pegawai Jabatan Imigresen Johor melakukan pemeriksaan terhadap pekerja warga asing.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga melakukan Ops Selera, Ops Bekerja, Ops Kutip dan Ops Sapu di beberapa premis di Senai pada jam 3.50 petang.

Jelasnya, serbuan itu dilakukan berikutan aduan awam yang diterima terdapat warga asing bekerja tanpa permit dan pas kerja yang sah di kawasan terbabit.

Baharuddin memberitahu, seramai 110 warga asing dan tempatan diperiksa dengan 40 daripadanya ditahan.

Menurutnya, mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan 10 wanita Indonesia, dua lelaki dan sembilan wanita Myanmar, enam lelaki Bangladesh, dua lelaki Pakistan, satu lelaki Nepal dan satu lelaki India berusia 19 sehingga 57 tahun.

Mereka katanya, melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selain disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.

"Seorang wanita Myanmar turut ditahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana memberi kebenaran PATI untuk berada dalam premis.

"Jabatan Imigresen menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan PATI di negeri ini.

Operasi Jabatan Imigresen Johor dilakukan di beberapa premis di Senai, Johor Bahru dalam usaha menggempur warga asing.
Operasi Jabatan Imigresen Johor dilakukan di beberapa premis di Senai, Johor Bahru dalam usaha menggempur warga asing.

"Pihak Jabatan Imigresen Johor akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan terutama di lokasi-lokasi hotspot bagi membanteras PATI yang dilihat semakin galak menguasai sesebuah kawasan," katanya.

Ujar beliau, tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI yang melanggar undang-undang serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!