Dua restoran berebut pemilikan resipi ‘Chicken Butter’

Chicken Butter menduduki tempat ke-43 dalam senarai "hidangan terbaik" dunia oleh TasteAtlas yang dinilai oleh hampir 400,000 pengguna. - Gambar hiasan
Chicken Butter menduduki tempat ke-43 dalam senarai "hidangan terbaik" dunia oleh TasteAtlas yang dinilai oleh hampir 400,000 pengguna. - Gambar hiasan
A
A
A

NEW DELHI - Chicken Butter atau ayam mentega, merupakan salah satu hidangan India yang paling terkenal di seluruh dunia berikutan rasanya yang lazat.

Namun kini, hidangan tersebut telah menimbulkan perbalahan apabila dua rangkaian restoran terkenal India telah membawa kes tuntutan asal-usul Chicken Butter ke mahkamah.

Tuntutan itu, yang kini menjadi topik hangat di India, telah dibawa oleh keluarga di belakang Moti Mahal, jenama restoran terkenal di Delhi.

Mereka juga pernah menghidangkan masakan ini kepada Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Richard Nixon.

Pengasas restoran tersebut, Kundan Lal Gujral didakwa menjadi orang pertama mencipta resipi itu pada tahun 1930-an apabila restoran itu mula dibuka di Peshawar sebelum ia berpindah ke Delhi.

Dalam pemfailan mahkamah setebal 2,752 muka surat, ia telah menyaman rantaian restoran saingannya, Daryaganj.

Ia menuduh restoran itu membuat pengakuan palsu bahawa merekalah sebenarnya yang telah mencipta hidangan itu.

Keluarga Gujral menuntut ganti rugi sebanyak AS$240,000, selain mendakwa Daryaganj meniru susun atur laman web beserta "rupa dan rasa" restorannya.

Artikel Berkaitan:

Kes itu pertama kali dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi Delhi minggu lalu dan perbicaraan seterusnya dijadualkan pada Mei.

Daryaganj - yang ditubuhkan secara relatifnya baru-baru ini pada 2019 - menyatakan bahawa ahli keluarganya, mendiang Kundan Lal Jaggi, telah bekerjasama dengan Gujral untuk membuka restoran Delhi pada 1947 dan hidangan itu dicipta di sana.

Justeru, ia memberinya hak untuk juga membuat tuntutan terhadap penciptaan hidangan itu.

Pertikaian itu telah menarik perhatian negara dengan penyiar TV India menyiarkan segmen mengenai sejarah hidangan itu dan perdebatan yang hangat di media sosial.

Dibuat dengan kepingan ayam masak tandoor yang dicampur dalam kuah tomato dengan sedikit krim dan mentega, hidangan itu menduduki tempat ke-43 dalam senarai "hidangan terbaik" dunia oleh TasteAtlas yang dinilai oleh hampir 400,000 pengguna.

Ia adalah makanan India peringkat kedua selepas roti naan bawang putih mentega.

Kedua-duanya sering digandingkan bersama.- Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!