'Lelaki maut lemas, tiada sebarang unsur jenayah' - Polis

Punca kematian Muhamad Zulfaqar Zulkarnaen yang dilaporkan maut setelah terjatuh di Tasik Temenggor, pada Selasa adalah disebabkan lemas.
Punca kematian Muhamad Zulfaqar Zulkarnaen yang dilaporkan maut setelah terjatuh di Tasik Temenggor, pada Selasa adalah disebabkan lemas.
A
A
A

GERIK - Punca kematian lelaki yang dilaporkan maut setelah terjatuh di Tasik Temenggor, di sini, pada Selasa adalah disebabkan lemas.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Zulfaqar Zulkarnaen, 33, terjatuh ketika mahu mengikat tali rakit di rumah bot tersebut.

"Pada 24 Januari lebih kurang pukul 12.10 malam, Balai Polis Bersia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki iaitu bapa mangsa berusia 55 tahun memaklumkan anaknya terjatuh dari rakit rumah bot di pulau JKR Tasik Temenggor.

"Bertindak atas maklumat, pada 24 Januari kira-kira 1.05 pagi, pihak Balai Polis Bersia sampai di tempat kejadian dan pemeriksaan ke atas tubuh mangsa didapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Dalam masa sama Pegawai Kesihatan Hospital Daerah Gerik mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ujarnya, polis telah membawa mangsa ke Unit Forensik Hospital Daerah Gerik bagi tujuan bedah siasat.

"Siasatan lanjut mendapati mangsa telah terjatuh semasa hendak mengikat tali rakit untuk tujuan melabuhkan rumah bot di kawasan berhampiran Pulau JKR.

"Bedah siasat telah dijalankan oleh bahagian Forensik Hospital Daerah Gerik dan mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan 'drowning' (lemas)," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, jenazah mangsa telah diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

Pada Rabu media melaporkan, seorang lelaki yang terjatuh dalam Tasik Temenggor, dekat sini, pada petang Selasa, ditemukan lemas pada lewat malam.

Mayat Muhamad Zulfaqar ditemui sekitar jam 11.30 malam.

Mangsa difahamkan bertanggungjawab mengurus rumah bot berkenaan dan merupakan anak kepada seorang anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!