Thaipusam: Pengguna diingatkan jangan letak kenderaan sesuka hati
SHAH ALAM - Meletakkan kenderaan sesuka hati selain tidak mematuhi peraturan ditetapkan antara tumpuan utama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bagi memastikan kelancaran trafik susulan cuti umum sempena Thaipusam di negara ini pada Khamis.
Pengarahnya, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas berkenaan diambil bagi pengguna jalan raya yang masih tegar dan ingkar melakukannya.
"Antara diberikan tumpuan adalah meletak kenderaan sesuka hati, tidak mematuhi tanda tanda isyarat lalu lintas dan halangan yang tidak sewajarnya.
"Jangan sewenang-wenangnya melanggar peraturan jalan raya bagi mengelakkan menjadi punca kesesakan dan masa sama berikan kerjasama sepenuhnya kepada anggota polis yang bertugas," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Katanya, kesesakan dijangka berlaku melibatkan beberapa lokasi sambutan Thaipusam di beberapa buah negeri.
"Antaranya melibatkan Jalan Johor Bahru ke Skudai melibatkan Kuil Arilmigu Sri Balasundramaniar, Skudai dan Kuil Sri Maha Siva Muniswarar, Kempas di Johor Bahru.
"Selain itu, kesesakan turut berlaku di Jalan Middle Ring Road(MR2) berdekatan dengan Kuil Arulmigu Murugan di Batu Cave, Gombak dan Kuil Thaneermalai Murugam, Jalan Kebun Bunga, Pulau Pinang," katanya.
Menurutnya, pihaknya menempatkan semua petugas trafik di lokasi berkenaan bagi mengawal lalu lintas.
"Lokasi yang sememangnya telah dijangka berlaku kesesakan ini telah ditempatkan anggota polis bertugas untuk memastikan aliran trafik bergerak lancar.
"Pengguna disarankan untuk merancang terlebih dahulu perjalanan ke destinasi yang dituju sebelum memulakan pergerakan bagi mengelak dari terperangkap di dalam kesesakan dalam tempoh yang lama," katanya.
Sementara itu, mengulas berkaitan trafik di beberapa lebuh raya utama jelasnya, Zon Tengah dan Selatan setakat ini masih lancar walaupun mencatatkan aliran trafik yang tinggi.
"Pemantauan setakat ini mendapati trafik bergerak perlahan di Zon Tengah melibatkan arah dari Sungai Buloh ke Rawang Selatan menuju ke utara dan arah keluar dari Plaza Tol Sungai Besi menuju ke Pusat Bandar.
"Selain itu, aliran trafik turut perlahan di Zon Selatan antaranya melibatkan arah Kempas ke Dato Onn, Johor Bahru, Skudai menuju ke Kulai dan Singapura menuju ke Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!