Bagi RM100 juta, pokok kemuncup pun kami tak tebang - Sanusi
POKOK SENA - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan sekiranya kerajaan Persekutuan membayar insentif khas RM100 juta, Kedah tidak akan menebang walaupun pokok kemuncup di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda.
Muhammad Sanusi berkata, sudah empat tahun beliau memohon RM100 juta itu dan mengulang kenyataan yang sama, namun sehingga kini belum mendapat keputusan.
Katanya, peruntukan tersebut akan digunakan untuk mengurus, memelihara dan mengganti kehilangan hasil akibat kerajaan negeri tidak dapat mengusahakan hasil.
"Kan depa duk tuduh kita duk tebang balak sampai Ulu Muda tercemar, tapi hampa tuduh saja. Pasai balak ni jabatan hutan ada kuatkuasakan peraturan, undang-undang, prosedur dan prosesnya semua jabatan hutan.
"Lagipun jabatan hutan ni agensi kerajaan Persekutuan dia yang urus hutan itu, mana boleh, mana tak boleh, had tebangan dan lain lain lagi. Jadi kenapa duk hentam kerajaan negeri," ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Buku Pokok Sena 2024 di sini pada Khamis.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan agensi-agensi yang melibatkan negeri lain masuk ke wilayah Kedah.
"Saya tak bagi dan tidak akan terlibat, hampa mai lah, buat lah lagu mana (macam mana) pun saya tidak akan terlibat, pegawai saya pun tidak akan terlibat sebab ini wilayah Kedah, dan Kedah ada kedaulatan jangan mai ajar kita untuk kepentingan hampa," tegasnya.
Ujarnya, sekiranya Pulau Pinang bergantung kepada Ulu Muda untuk mendapatkan air bersih, maka negeri jiran itu perlu membayar harga air tersebut.
"Kalau depa bayar kita akan pastikan air cukup sampai kepada depa. Lagipun kalau dia bayar dia akan jadi klien kita, jadi kita akan pastikan klien kita terpelihara kebajikannya, tapi sekarang dia ambil 'free' jadi punya pasal dia lah," katanya ketika mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chan Kon Yeow yang menggesa kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda bagi menguruskan sumber air di kawasan tadahan air Ulu Muda Kedah.
Dalam perkembangan yang sama, Muhammad Sanusi berkata, tuntutan caj air kepada Pulau Pinang juga sudah bertahun-tahun berlarutan sejak zaman Datuk Seri Syed Razak Syed Zain menjadi menteri besar
"Dalam Rancangan Fizikal Negara Kedua, telah dipersetujui untuk membuat bayaran, tapi sekarang sudah Rancangan Fizikal Negara Keempat tapi belum dibayar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!