'Tubuh RCI untuk siasat apa yang berlaku pada kes Batu Puteh'
PENAMPANG - Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengkaji pengendalian kes Batu Puteh yang dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu, adalah bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung apa yang berlaku ketika kes itu dikendalikan oleh kerajaan lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan bahawa sebuah pasukan petugas khas telah wujud sebelum ini, namun menerusi RCI itu adalah bagi membolehkan siasatan diteruskan.
"Sebab sekarang isunya ialah kita perlu menilai dari segi apa yang sebenarnya berlaku. Sebab pada sesi Parlimen saya akan membawa undang-undang Akta Imuniti dan soalan mengenai Sulu, ia adalah berkaitan dengan kedaulatan dan Batu Puteh juga berkaitan dengan kedaulatan.
"Sebab itu kedaulatan tidak boleh dibuat keputusannya daripada satu pihak saja, tidak boleh ada kesilapan. Apa yang berlaku dengan Sulu adalah sesuatu yang kita kena belajar.
"Kita tidak boleh membuat kesilapan berhubung kedaulatan, kedaulatan adalah berkenaan dengan sempadan, pulau dan berkaitan dengan banyak perkara," katanya dalam sidang media pada majlis pelancaran Van Justice On Wheels (Jabatan Bantuan Guaman) di Dewan Gawir, Kampung Madsiang di sini pada Khamis.
Jelas Azalina, penubuhan RCI itu juga adalah untuk membantu kerajaan mengetahui proses dan prosedur mengenai kedaulatan.
"Agensi mana yang tertakluk dan bertanggungjawab kepada kedaulatan? Majlis Keselamatan Negara (MKN)? Kabinet? Pasukan petugas khas sudah ada hasilnya tetapi keputusannya bukan domain awam yang belum diberitahu kepada rakyat, masih di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
"Jadi RCI ini lebih terbuka dan rakyat mesti memahami negara kita dengan geopolitiknya dan di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10 beliau sangat prihatin dengan isu kedaulatan.
"Apa yang berlaku pada Batu Puteh sesuatu yang tidak boleh berlaku kepada pulau di bawah kawalan kita sama ada di negeri atau Persekutuan," katanya.
Pada Rabu, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali, yang juga Ketua Setiausaha Negara berkata, penubuhan RCI itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), dan cadangan keanggotaan suruhanjaya itu akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!