Klinik guaman bergerak bantu rakyat tahu hak perundangan

Azalina ketika melancarkan Justice On Wheels di Dewan Gawir, Kampung Madsiang, Penampang pada Khamis.
Azalina ketika melancarkan Justice On Wheels di Dewan Gawir, Kampung Madsiang, Penampang pada Khamis.
A
A
A

PENAMPANG - Perkhidmatan klinik guaman bergerak daripada Jabatan Bantuan Guaman (JBG) akan diselarikan dengan mahkamah bergerak bagi memastikan rakyat terutama di kawasan pedalaman tahu dan mendapat hak mereka dari segi perundangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Sabah dan Sarawak adalah negeri perintis bagi pelaksanaan program klinik guaman bergerak atau 'Justice On Wheels' di seluruh negara.

"Ini sebagai penambahbaikan daripada mahkamah bergerak yang telah wujud. Sebab tiada guna juga kalau ada mahkamah bergerak dan rakyat tidak tahu hak mereka. Sekurang-kurangnya kita mempunyai bantuan guaman dalam kes yang mereka perlukan penjelasan.

Azalina melawat klinik guaman bergerak selepas melancarkan Justice On Wheels di Dewan Gawir, Kampung Madsiang, Penampang.
Azalina melawat klinik guaman bergerak selepas melancarkan Justice On Wheels di Dewan Gawir, Kampung Madsiang, Penampang.

"Saya sangat ambil perhatian mengenai masalah di kawasan luar bandar kadang-kadang mereka boleh jadi mangsa keadaan seperti mangsa 'scammer' dalam talian, kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, jadi kesedaran di kawasan pedalaman kita kena perbanyakkan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program itu di Dewan Gawir, Kampung Madsiang di sini pada Khamis.

Sementara itu dalam ucapannya, Azalina mendedahkan bahawa kes kelahiran yang tidak didaftarkan di Sabah meningkat kerana masih terdapat segelintir masyarakat di pedalaman yang tidak mengetahui tentang peruntukan undang-undang berkenaan dengan pendaftaran kelahiran lewat.

"Menyedari hakikat ini, Badan Kehakiman Malaysia telah mewujudkan Program Mahkamah Bergerak di kawasan pedalaman dan kawasan terpencil di Sabah untuk menyelesaikan isu ketiadaan dokumen kelahiran bagi masyarakat di kawasan tersebut, dengan lokasi pertamanya di Long Pasia Sipitang.

"Sehingga kini, program ini telah meliputi sebanyak 41 lokasi bagi kawasan pekan dan bandar kecil manakala 63 lokasi lagi di kawasan pedalaman," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, inisiatif itu turut melibatkan pengamal undang-undang dan pasukan perubatan yang menawarkan perkhidmatan undang-undang serta perkhidmatan kesihatan asas kepada masyarakat setempat.

"Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga turut serta bagi memproses permohonan MyKad secara segera setelah pendaftaran sijil kelahiran disahkan oleh mahkamah.

"Pada 2023, program ini telah dapat menyelesaikan lebih 60 peratus kes pendaftaran lewat kelahiran," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!