[VIDEO] Lima lembu terbiar dilelong RM11,700
JASIN - Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) melelong lima ekor lembu terbiar pada 13 Januari lalu dengan nilai bidaan keseluruhan berjumlah RM11,700.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, proses lelongan itu dilakukan selepas mendapati pemilik haiwan ternakan terbabit tidak menjelaskan bayaran kompaun sebanyak RM1,000 bagi setiap ekor lembu.
Menurutnya, individu terbabit meminta pengurangan kompaun namun dalam kes itu pihaknya tidak berkompromi membuat sebarang pengurangan sehinggalah lima ekor lembu itu tidak dituntut pemiliknya dalam tempoh ditetapkan.
Katanya, pada proses lelongan tersebut lembu paling tertinggi dibida dengan harga RM3,500 seekor manakala terendah berharga RM1,600.
"Bila kehilangan nyawa tiada seorang pun pemilik lembu yang nak mengaku bahawa itu adalah lembu mereka dan ambil tanggungjawab.
"Kerajaan negeri bertegas, kita akan jalankan operasi untuk menangkap lembu yang terbiar ini dan kompaun tidak akan dikurangkan walaupun 10 sen," katanya selepas menyaksikan proses lelongan lima ekor lembu di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka di Semujuk, Merlimau di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari dan Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd, Azahar Mohamed.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, tindakan tegas yang diambil bawah Seksyen 73, 102 dan 102A Akta Kerajaan Tempatan 1976 di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan (Majlis Perbandaran Jasin) 2012, bukan bertujuan untuk mendapatkan keuntungan namun sebagai pengajaran.
Jelas beliau lagi, telah merujuk kepada Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil sebelum proses lelongan diadakan mengikut lunas undang-undang dan haiwan ternakan itu sah untuk dimakan mahupun dijadikan lembu korban.
Menurut beliau, jika sebelum ini mereka boleh mengambil remeh berkenaan isu lembu terbiar yang telah banyak mengorbankan nyawa pengguna jalan raya, namun kali ini tidak akan terlepas dari segi perundangan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata lagi, tidak akan membiarkan sebarang campur tangan politik untuk melepaskan lembu yang ditangkap atau pengurangan kompaun, supaya golongan penternak benar-benar mengambil sikap tanggungjawab dan menjelaskan kompaun dikenakan.
"Saya nak beri peringatan tegas kepada semua penternak lembu di negeri ini, jika lembu anda dibiarkan berkeliaran tanpa penjaga maka sudah tentu pihak PBT akan mengambil satu langkah untuk kita rampas semula lembu-lembu itu.
"Seperti hari ini jika tiada kompaun dijelaskan maka kita akan buat lelong, jadi lebih telus dan semua orang dapat manfaat," katanya.
Pada 13 Januari lalu, Muhammad Akmal bersama penguat kuasa MPJ melakukan tangkapan lembu terbiar di sebuah ladang sawit dengan menggunakan ubat pelali seperti yang disarankan Jabatan Veterinar Melaka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!