Sambutan istimewa sempena keberangkatan pulang Agong ke Pahang
TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri melakukan persediaan rapi sempena keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Januari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberitahu, beberapa kali perbincangan dan mesyuarat diadakan untuk mengatur program terbaik membabitkan jabatan dan rakyat jelata sempena acara tersebut.
Menurutnya, lebih 10,000 rakyat dijangka menyambut keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda di Kuantan.
"Rakyat akan berpeluang menyambut keberangkatan pulang baginda di Pangkalan Udara TUDM Kuantan, sepanjang jalan ke Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Jalan Teluk Sisek, Kuantan.
"Majlis meriah dengan pelbagai acara tradisi diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah yang dihadiri kaum kerabat, ketua jabatan dan pelbagai golongan," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditanya pemberita selepas Majlis Penyerahan Alat Tulis Untuk Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanchang membabitkan 70 calon di sekolah tersebut pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Pahang, Amzan Abd Malek dan Pengetua SMK Lanchang, Zalilah Zainudin.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berharap penyerahan kit alat tulis itu dapat menyuntik semangat calon SPM di Pahang untuk meraih keputusan cemerlang tahun ini.
Menurutnya, sebanyak RM200,700 diperuntukkan untuk kit alat tulis tersebut membabitkan 20,070 calon SPM di negeri itu.
Ujar Wan Rosdy, pengagihan kit itu telah mula dilakukan sejak Rabu hingga Isnin ini.
Bagi calon SPM sekolah itu, masing-masing teruja selain gembira kerana sekolah mereka terpilih menerima kit tersebut daripada Menteri Besar.
Nurhafizhulina Hana Azman,18, menyifatkan pemberian kit itu banyak membantu mereka untuk menghadapi SPM.
Seorang calon yang juga Orang Asli dari suku Temuan, Farah Nabila Halim,18, menghargai pemberian kerajaan negeri dan nekad untuk mencapai keputusan terbaik dalam SPM.
Berasal dari Kampung Sungai Leleh di sini, Farah yang bercita-cita menjadi anggota polis itu turut menyifatkan pemberian kit itu sangat bermakna buat dirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!