Sabah sasar kurangkan 80 peratus rakyat miskin tegar - Hajiji
TUARAN - Kerajaan Sabah menyasarkan untuk mengurangkan kadar bilangan isi rumah miskin tegar kepada 80 peratus pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan statistik, Sabah mempunyai lebih 22,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar.
Namun katanya, menerusi pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan termasuk Program Menoktahkan Miskin Tegar Di Negeri Sabah ia diyakini akan dapat mengurangkan kadar KIR miskin tegar di Sabah.
"Dengan pengembelingan semua pihak melibatkan kerajaan negeri dan Persekutuan menerusi jabatan dan agensinya serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta yang menyediakan pelbagai jenis bantuan dan inisiatif, Insya-ALLAH dalam tahun ini atau mungkin tahun hadapan, kita berharap boleh mengurangkan sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus rakyat miskin tegar di Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan surat penyertaan agensi pemberi bantuan bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah di sini pada Khamis.
Katanya lagi, keutamaan diberikan kepada golongan dari KIR miskin tegar dan bantuan yang diberikan termasuklah dalam bentuk pekerjaan, pendidikan, kebajikan, perumahan dan keusahawanan.
"Kita bagi keutamaan kepada anak-anak dari KIR miskin tegar supaya diambil bekerja di jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan dan juga pelabur-pelabur yang datang melabur dan membuka kilang di Sabah diwajibkan untuk mengambil anak-anak dari senarai eKasih miskin tegar bekerja.
"Kita telah minta kepada mereka supaya memastikan peluang pekerjaan ini dapat dinikmati oleh golongan yang dalam kategori miskin tegar.
"Nama-nama KIR miskin tegar ini telah diselaraskan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan dihantar kepada syarikat-syarikat, jabatan dan agensi kerajaan serta GLC kerajaan, supaya mereka diberi peluang untuk bekerja," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, itu adalah sasaran kerajaan Sabah ketika ini yang mahu menoktahkan kemiskinan di negeri ini.
"Itulah sasaran kita. Kalau boleh semua kita bagi peluang, pekerjaan dan juga berniaga disamping bantuan lain terus daripada kerajaan.
"Bagi kita inilah antara cara untuk menyelesaikan dan menoktahkan miskin tegar," atanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!