Konflik AS-Iran: Kesan krisis terhadap dunia

Ketegangan antara AS dan Iran kembali meningkat
Ketegangan antara AS dan Iran kembali meningkat
A
A
A

KEBIMBANGAN dunia terhadap krisis antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran tidak mampu lagi disembunyikan susulan perkembangan terbaru serangan udara di Lapangan Terbang Baghdad yang berlaku pada Jumaat.

Dalam serangan itu pegawai tertinggi keselamatan dan komander perisikan Iran, Qasem Soleimani maut apabila kenderaan dinaiki bersama beberapa pegawainya diserang ketika mereka berangkat pulang dari lapangan terbang berkenaan.

Tindakan serangan itu dilakukan kerana AS mendakwa Qasem Soleimani bertanggungjawab menyusun pelan untuk menyerang diplomat Amerika serta anggota perkhidmatan mereka di Iraq.

Jabatan Pertahanan AS telah mengesahkan serangan itu adalah arahan Presiden AS, Donald Trump, menambahkan lagi rasa tidak tenteram dunia apabila memikirkan kesan jangka panjang sekiranya krisis itu memuncak dan mencetuskan peperangan.

Ternyata kebimbangan yang melanda dunia itu mempunyai asas yang kukuh disebabkan hubungan diplomatik antara banyak negara-negara lain yang wujud dengan kedua-dua negara itu.

Kesan ekonomi dan diplomatik global menjadi perkara utama yang dikhuatirkan kerana Iran merupakan antara pengeluar minyak tertinggi.

Penganalisis Politik, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed tidak menolak hal itu kerana negara besar seperti Rusia dan China mempunyai hubungan baik dengan Iran.

Beliau berkata, jika krisis melanda dua negara itu memuncak sehingga mencetuskan peperangan sudah tentu akan memberi kesan terhadap ekonomi global.

Artikel Berkaitan:

"Sekutu Iran seperti Rusia dan China pasti akan mengambil tindakan juga seperti menekan ekonomi AS melalui pelbagai sekatan perdagangan.

"Jika ekonomi global terkesan akibat peperangan ekonomi, Malaysia sebagai negara kecil akan menerima kesan buruk," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, jika berlaku peperangan US-Iran, pola perpecahan bukan hanya melibatkan dua negara bahkan akan menyelubungi keseluruhan Timur Tengah yang hari ini mempunyai hubungan yang agak rapuh.

Katanya, negara-negara sekutu Amerika dan sekutu Iran akan turut serta apabila umum mengetahui bahawa Arab Saudi akan menyebelahi Amerika.

"Bagi saya ini satu perpecahan yang bukan kecil-kecilan kerana Iran merupakan satu negara besar mempunyai pengaruh dan ketenteraan yang kuat. Mereka juga mempunyai keupayaan senjata nuklear.

"Jadi bayangan implikasi konflik antara Amerika dan Iran itu bukan hanya berlegar antara kedua-dua negara bahkan kita bimbang kesannya itu akan melampaui benua yang lain bukan hanya di Timur Tengah terutamanya apabila China dan Rusia campur tangan kemudian kita dapati sekutu Iran juga akan membantu," katanya.

Profesor Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah pula berpendapat krisis yang berlaku mungkin boleh memberi kelebihan kepada Malaysia sebagai negara pengeluar minyak.

Katanya, jelas harga minyak dunia akan melambung sekiranya krisis memuncak dan berlaku peperangan.

Bagaimanapun katanya, daripada sudut perdagangan pula Malaysia tetap akan menerima kesan buruk disebabkan kenaikan nilai dolar AS.

Qassem Soleimani
Qassem Soleimani

"Kenaikan harga minyak dari satu segi ia akan memberi kesan positif kepada Malaysia kerana kita akan dapat limpahan daripada harga minyak.

"Pasa masa sama, kenaikan harga minyak akan juga menyebabkan kos lain meningkat di seluruh dunia. Itu juga memberi kesan kepada kita.

"Apabila kos meningkat, Malaysia yang juga negara perdagangan akan banyak bergantung kepada barang import yang akan menjadi lebih mahal," katanya.

Selain itu, kesan langsung terhadap ekonomi global dan negara ini, krisis AS-Iran yang berlarutan juga dilihat akan mengundang reaksi agresif khususnya pengikut Syiah bukan hanya di Iran bahkan seluruh dunia termasuk negara ini.

Kerajaan Iran sendiri mengakui akan melakukan tindakan susulan ekoran daripada serangan US tersebut dan tentunya Kedutaan AS, syarikat-syarikat pernigaan AS dan sekutunya akan menjadi sasaran.

Pensyarah Jabatan pengajian kenegaraan dan ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia UPM, Profesor Dr Zaid Ahmad juga melihat serangan berlaku ke atas Iran itu akan mengundang tindak balas seterusnya meningkatkan lagi ketegangan.

"Sebarang tindakan provokasi ketika suhu konflik sedang memuncak akan hanya mengundang malapetaka lebih besar...tiada pihak yang untung daripada konflik sebegini," katanya.

Menurutnya, walaupun Malaysia sebagai negara berkecuali tidak boleh memandang ringan terhadap sebarang bentuk tindak balas yang mungkin turut berlaku di negara ini oleh golongan tersebut.

"Kita tidak mahu kebimbangan tentang kesan besar terhadap ekonomi dan diplomatik dunia itu nanti akan menjadi lebih parah sehingga melibatkan kesan terhadap fizikal negara," katanya.

Apapun, mengelakkan ketegangan memuncak adalah langkah terbaik namun untuk mengharapkan campur tangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ia tidak mungkin berlaku disebabkan Arab Saudi sebagai sekutu AS.

Justeru, Malaysia sebagai jurucakap negara Islam yang boleh dianggap terhormat, masih boleh memainkan peranan menyuarakan di pentas antarabangsa bagi mendesak PBB menyatakan pendirian yang tegas berkaitan dengan isu ini agar krisis tidak berpanjangan.

Ketegangan antara AS dan Iran kembali meningkat selepas Presiden Donald Trump didakwa mengarahkan pembunuhan komander tertinggi IRGC, Qasem Soleimani dalam tindakan pertahanan untuk melindungi kakitangan AS di luar negara. - Foto AP
Ketegangan antara AS dan Iran kembali meningkat selepas Presiden Donald Trump didakwa mengarahkan pembunuhan komander tertinggi IRGC, Qasem Soleimani dalam tindakan pertahanan untuk melindungi kakitangan AS di luar negara. - Foto AP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!