Al-Sultan Abdullah sentiasa cintai sukan, terbuka sebarang perspektif
KUALA LUMPUR - Sejak di alam persekolahan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sering tampil sebagai putera raja berjiwa rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang sukan.
Atas minat dan rasa cinta yang mendalam terhadap sukan itulah yang membuatkan Al-Sultan Abdullah membabitkan diri sebagai atlet terutamanya dalam bola sepak, polo berkuda dan hoki, dengan lebih selesa 'meninggalkan' status raja.
Al-Sultan Abdullah juga dikenali sebagai raja yang cukup aktif dalam pentadbiran sukan dengan memegang beberapa jawatan utama, antaranya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), ketika bergelar Tengku Mahkota Pahang.
Biarpun sebagai putera raja, Seri Paduka sebagai pemimpin badan sukan berprestij itu tetap tidak terkecuali daripada menerima kritikan, terutama daripada peminat dan penganalisis sukan tanah air, namun baginda bersikap terbuka dan profesional dengan menganggap ia satu pandangan membina demi masa depan bola sepak negara.
Datuk Dr Johnson Fernandez, bekas wartawan sukan dengan pengalaman lebih 30 tahun bersama akhbar National Echo, The Star dan New Straits Times Press (NSTP) berkata, Seri Paduka sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan keperibadian itu diwarisi daripada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.
Johnson, yang mengenali Seri Paduka sekitar 1985 ketika Al-Sultan Abdullah bersama FAM, dan memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) berkata, baginda tidak pernah menyimpan dendam terhadap kritikan yang dibuat menerusi penulisan berita.
"Mungkin ada yang baginda tidak setuju dengan apa yang kami tulis, namun baginda tidak murka dengan kami kerana faham apabila kami tulis berita, ia bukannya ada niat buruk tersembunyi, kami tulis dengan jujur dan baginda menghargainya.
"Pernah sekali saya bersama baginda semasa mengikuti satu siri jelajah kejohanan bola sepak, baginda panggil saya bertanyakan pandangan, pastinya (pandangan saya) jelas berbeza dengan apa yang ada di fikiran baginda.
"Baginda mengucapkan terima kasih kerana secara jujur saya berikan 'input' yang diperlukan, dan bukannya pandangan yang baik-baik untuk didengar sahaja, baginda tidak mahu mendengar perkara-perkara yang hanya 'enak' didengar semata-mata," katanya.
Johnson, yang kini berkhidmat sebagai Pengarang Urusan Revon Media berkata, ketika menghadiri majlis gala 'Sports Flame' yang menghimpunkan legenda sukan, jurulatih, pegawai dan pengamal media dari era 1960-an hingga awal 80-an baru-baru ini, Al-Sultan Abdullah turut berkongsi, bahawa pandangan yang konstruktif sebenarnya membantunya membina karakter yang lebih utuh.
Sementara itu, Datuk V Radhakrishnan, seorang pentadbir sukan tempatan yang pernah berkhidmat di bawah Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) (dahulu dikenali sebagai Persekutuan Hoki Malaysia) berkata, baginda sentiasa mendengar pandangan semua ahli majlis dalam mesyuarat sebelum membuat keputusan penting.
Beliau yang mengenali Al-Sultan Abdullah hampir 20 tahun berkata, pengalaman baginda dalam mentadbir dan menguruskan isu dan politik dalam sukan telah membantu baginda menangani konflik politik negara pada 2020 hingga 2022.
"Tuanku sangat mencintai sukan. Baginda pernah menyatakan sukan akan selalu menjadi sebahagian daripada darah dagingnya kerana sukan mengajar banyak disiplin, cara mengendalikan isu dan sebagainya. Sebagai seorang pentadbir sukan, Tuanku telah menghadapi banyak isu dan baginda belajar bagaimana untuk mengatasinya.
"Ini membantu baginda membuat keputusan lebih baik, terutama semasa konflik politik...kerana politik dan sukan tidak boleh dipisahkan. Tuanku banyak belajar daripada sikap atlet, pegawai sukan dan pegawai kementerian semasa berkhidmat dalam sukan," katanya.
Radhakrishnan turut menyifatkan Al-Sultan Abdullah adalah seorang Raja yang rendah diri dan mudah didekati selain masih aktif bersenam dan melakukan aktiviti kecergasan untuk menjaga kesihatan.
Beliau juga berkongsi satu sikap terpuji Seri Paduka dengan sering memberikan ucapan tahniah kepada wira atau wirawati atas kejayaan mereka di peringkat antarabangsa.
"Baginda juga mengucapkan takziah melalui platform media sosial rasmi Istana Negara jika bekas atlet negara meninggal dunia, satu penghargaan besar buat keluarga sukan negara," katanya.
Sepanjang lebih tiga dekad dalam pentadbiran sukan, Al-Sultan Abdullah pernah memegang jawatan utama, antaranya sebagai Presiden PBNP pada 1984, seterusnya Presiden Seumur Hidup PBNP sehingga 2005.
Baginda juga pernah menjawat kedudukan sebagai Naib Presiden FAM.
Seri Paduka menjadi Timbalan Presiden FAM dari 1992-2007, kembali memegang jawatan itu dari 2010-2014, dan kemudian memegang pucuk kepimpinan sebagai Presiden FAM dari 2014-2017.
Al-Sultan Abdullah juga pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dari 2002-2015 dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA dari 2015-2019.
Seri Paduka juga dianugerahkan 'AFC Diamond of Asia,', iaitu anugerah tertinggi bola sepak Asia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan baginda selama lebih tiga dekad dalam arena bola sepak di benua ini.
Baginda turut dilantik sebagai Ahli Kehormat FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) pada 2021, Ahli Lembaga Eksekutif FIH pada 2012, Penaung Diraja Persekutuan Hoki Asia (AHF) sejak 2019, selain pernah memegang pucuk kepimpinan AHF dari 2014-2019 dan KHM dari 2008 hingga 2015.
Sementara itu, bekas pemain kebangsaan dan Pahang era 80-an dan 90-an, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata, amat penting untuk mempunyai seorang pemimpin seperti Al-Sultan Abdullah yang mempunyai minat mendalam terhadap sukan terutamanya bola sepak.
Zainal Abidin yang turut memiliki pengalaman luas sebagai jurulatih, berkongsi bahawa baginda sentiasa mengingatkan semua pemain supaya mengekalkan disiplin tinggi pada setiap masa.
"Saya boleh dikatakan lama di bawah pentadbiran Seri Paduka di pasukan Pahang dan di peringkat kebangsaan. Komen, nasihat ataupun idea diberi oleh Tuanku memang betul, bermakna Tuanku memahami bola sepak secara mendalam.
"Pada zaman saya bermain, boleh dikatakan setiap petang Tuanku akan berangkat melihat latihan, secara automatik kita tahu, bukan takut, tetapi tak nak buat kesilapan kerana kita memiliki ketua yang memang mahir dalam hal bola sepak," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!