'Kritikan juga adalah satu impak' - Afnan Hamimi

Afnan Hamimi
Afnan Hamimi
A
A
A

ALOR SETAR - "Kritikan juga merupakan impak kepada sesuatu isu yang menjadi tumpuan ramai," kata Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Ahli Parlimen Alor Setar itu memberi reaksi tersebut apabila diminta mengulas berhubung kritikan terhadap dirinya selepas dilantik sebagai Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, sekiranya pelantikan itu dikatakan tiada impak besar, kenapa isu berkenaan diberikan perhatian pihak tertentu.

“Terima kasih atas kritikan kedua-dua profesor berkenaan terhadap isu yang 'tiada impak besar' ini. Ini menunjukkan kritikan itu juga nampaknya adalah satu impak,” jelasnya.

Pada Isnin, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dilaporkan berkata, pelantikan Afnan Hamimi sebagai Ketua Pemuda PN tidak memberikan impak besar kepada sokongan rakyat termasuk pengundi muda terhadap koalisi parti politik itu pada masa depan.

Mohd Azizuddin juga mendakwa pelantikan tersebut tidak mampu menjadi pemangkin untuk menarik lebih ramai anak muda menyokong PN dalam pilihan raya akan datang.

Sementara, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali pula menyifatkan Afnan Hamimi boleh memainkan peranan secara berkesan jika mengamalkan pendekatan sederhana, berhemah selain tidak bersikap ekstremis.

Dalam pada itu, Afnan Hamimi tegaskan dirinya tidak meminta-minta untuk ditawarkan sebarang jawatan dalam parti.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak pernah minta untuk dilantik atau berusaha untuk dilantik. Saya akui tugas yang diberikan itu bukan mudah.

“Namun setelah pimpinan membuat keputusan, ia harus dipatuhi dan ditaati. Saya akan pikul tanggung jawab ini sebaik mungkin,” ujarnya.

Menurutnya, impak pendekatan PN sebelum ini diterima baik oleh pengundi muda dan dibuktikan dengan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Kami akan terus perkemaskan strategi selain lipat gandakan usaha untuk terus mendekati pengundi muda yang setia bersama perjuangan kami,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan pelantikan Afnan Hamimi sebagai Ketua Pemuda PN yang baharu, menggantikan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkuat kuasa 20 Januari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!