Menelusuri Sungai Pengkalan Datu dengan perahu kolek
KOTA BHARU - Pelancong yang datang ke negeri ini perlu mencuba satu lagi tarikan baharu iaitu menelusuri Sungai Pengkalan Datu dengan menaiki perahu kolek iaitu perahu tradisional yang menjadi kebanggaan rakyat di Kelantan.
Pengalaman menelusuri sungai itu bagi menikmati keindahan alam semula jadi sepanjang enam kilometer atau hampir sejam itu akan bermula di Jeti Pasar Terapung Pengkalan Datu dan pengunjung akan dibawa ke tempat-tempat menarik.
“Lokasi menarik itu antaranya penempatan rumah Cina, Masjid Ar-Rahman Pulau Gajah serta Pulau Nami, Bachok.
“Pada masa sama, kita juga akan menonjolkan aktiviti komuniti setempat kepada pengunjung seperti menuai nira nipah, mengutip lokan serta melihat habitat ikan air tawar iaitu ikan belacak,” kata Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (Waspada) Mohd Asri Husin di sini hari ini.
Beliau berkata, perkhidmatan itu diperkenalkan pihaknya sejak tiga bulan lepas mendapat sambutan menggalakkan sekali gus menjadi tanda sokongan kepada Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Kelantan 2020.
“Setakat ini hanya sebuah perahu kolek dan perahu fiber digunakan yang mana perahu kolek dapat memuatkan seramai 15 hingga 25 penumpang manakala perahu fiber dapat memuatkan tiga hingga lima penumpang pada satu-satu masa dan jumlah perahu akan ditambah bergantung kepada permintaan,” katanya.
Beliau berkata, bayaran yang dikenakan untuk perkhidmatan ini hanya RM10 seorang dan ianya beroperasi setiap Sabtu bermula 9 pagi hingga 4 petang.
“Buat masa ini kita hanya memfokuskan untuk beroperasi pada Sabtu, memandangkan hari itu turut diadakan pasar terapung yang menjadi tumpuan ramai. Jika ada permintaan pada hari lain kita akan lakukan berdasarkan tempahan,” katanya.
Terdahulu, beliau ditemui pada Program Berbusana Melayu Menyusur Sungai Pengkalan Datu Dengan Menaiki Perahu Kolek yang turut dihadiri Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Maimun Mohd Hussain dan Penasihat Persatuan Pencinta Busana Negeri Kelantan Mohamad Salleh.
Seramai 40 ahli Persatuan Pencinta Busana Negeri Kelantan mencipta kelainan dengan mengenakan busana tradisi Melayu seperti zaman dahulu kala menelusuri Sungai Pengkalan Datu dengan menaiki perahu kolek sejauh enam kilometer.
Sementara itu, Mohamad berkata, idea untuk menelurusi sungai dengan berbusana tradisi Melayu ini adalah bagi memperkenalkan asal usul busana tradisi negeri ini dan aktiviti ini juga dapat mempromosi dan menggalakkan pelancong untuk mengenali Pengkalan Datu sekali gus menjadikannya antara lokasi wajib dilawati di Kelantan.
“Pihak kami juga dalam perancangan untuk menyediakan khidmat sewaan busana tradisi negeri ini kepada pengunjung untuk bergambar selain ianya dapat menjana pendapatan bagi penggiat persatuan seni busana negeri ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!