Gagal kutip hutang, along 'serang' jiran peminjam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga kenderaan dan pagar dua buah rumah di Taman Selaseh, Gombak di sini rosak selepas disimbah cat merah dipercayai dilakukan pemberi pinjaman wang tidak berlesan atau along, pagi tadi.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad, 32, berkata, beliau menyedari pagar rumah, kereta isteri serta kereta jirannya disimbah cat pada kira-kira pukul 8 pagi.

Katanya, along terbabit turut meninggalkan sekeping nota di rumah jirannya, mendesak pihak kejiranan untuk memaksa individu yang dicari membayar hutang selain mengancam membakar rumah di situ jika gagal berbuat demikian.

Menurutnya, insiden simbah cat itu telah bermula sejak beberapa tahun lepas selepas jirannya yang dipercayai membuat pinjaman itu berpindah ke tempat lain.

"Sebelum ini, rumah saya ada terkena simbahan cat tetapi tidak seteruk seperti kali ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!