Anak muda kumpul saham akhirat
MARANG - Sejak setahun lalu, sekumpulan anak muda di sekitar bandar ini mengambil inisiatif membersihkan Tanah Perkuburan Bandar Marang setiap kali hujung minggu secara percuma.
Kumpulan anak muda sekitar 20 orang yang berusia antara 16 hingga 40 tahun ini bukan sahaja membantu memotong rumput dan membersihkannya, malah mereka turut membantu menguruskan urusan pengebumian apabila diperlukan.
Menurut Mohamad Hafizuddin Azmi, 27, kumpulan yang dikenali Botok Crew itu mula bergerak setelah terpanggil untuk meneruskan tradisi orang terdahulu.
"Sebenarnya, sebelum ini sudah ada kumpulan sebegini tetapi mereka kini sudah berusia dan sudah tidak ramai yang boleh menyumbangkan kudrat atas faktor usia.
"Kami rasa terpanggil kerana jika tidak, usaha ini akan terhenti apabila sudah tiada yang meneruskannya. Alhamdulillah, bermula hanya dengan beberapa orang sehingga kini ada hampir 20 orang yang aktif.
"Setiap kali hujung minggu, biasanya hari Jumaat kami akan ke sini. Mana yang berkelapangan memang akan turun, biasanya antara 10 ke 15 orang setiap kali kita melakukan aktiviti gotong-royong ini," katanya.
Hafizuddin berkata, apa yang paling menyeronokkannya adalah berjaya menarik mat rempit dan ramai pemuda kampung untuk menyertai aktiviti itu.
Malah katanya, ada yang sebelum ini cenderung bersosial namun masih mampu meluangkan masa untuk melakukan kerja amal.
"Bukan mudah untuk menarik anak-anak muda menyertai aktiviti seperti ini, tapi akhirnya mereka menyedari ini saham akhirat yang sangat mudah diperoleh.
"Lagipun mereka ada kudrat, apa salahnya menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan pada masa yang sama, kumpul pahala," katanya.
Menurutnya, walaupun mereka melakukan kerja amal, ada kalanya penduduk tempatan bermurah hati memberikan mereka makanan atau minuman dan sedikit wang untuk belanja minum.
Namun, Hafizuddin berkata, mereka masih kekurangan peralatan seperti mesin pemotong rumput, pencakar sampah dan peralatan pembersihan kerana peralatan sedia ada tidak mencukupi.
"Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan mengharapkan kami terus diberikan kesihatan untuk meneruskan kerja-kerja amal ini," katanya.
Mereka yang ingin menyumbang peralatan dan yang berkaitan, boleh menghubungi Hafizuddin di talian 014-5082238.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!