Perbuatan menunjuk-nunjuk boleh cemar imej agama

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbuatan menunjuk-nunjuk di khalayak ramai terutama yang dilakukan di rumah ibadat seperti masjid perlu dielakkan kerana tindakan itu boleh mencemar imej agama.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam dan Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Mohd Nor Mamat berkata, masjid merupakan tempat suci orang Islam dan tidak wajar digunakan untuk kepentingan serta keuntungan peribadi dengan melakukan aktiviti yang mencemarkan kesuciannya.

"Kegilaan tren membuat content (kandungan) tanpa mengambil kira adab, sensitiviti dan isu halal haram pada sudut agama dilihat semakin menjadi-jadi dan sangat menyedihkan.

"Masyarakat hari ini terutama generasi Y dan Z perlu dididik dengan adab serta ilmu agama supaya tidak tersasar, hanyut dengan tuntutan tren semasa, sekali gus memperlihatkan kebodohan diri sendiri," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini tular sebuah video berdurasi 27 saat yang memaparkan seorang lelaki dan dua kanak-kanak berpakaian Melayu dan bertanjak bersilat di pekarangan Masjid Nabawi, Madinah.

Tindakan tiga sekeluarga itu dikecam banyak pihak kerana dianggap tidak bersesuaian dan seolah-olah tidak menghormati rumah ibadat bagi umat Islam itu.

Dalam pada itu Mohd Nor menegaskan, aktiviti lintas langsung dari Masjid Nabawi untuk memenuhi kehendak media sosial tidak perlu dilakukan kecuali untuk urusan rasmi yang perlu diuar-uarkan.

"Jangan jadikan tren tersebut sebagai budaya yang biasa dalam masyarakat. Kebiadaban ini bukan sahaja merosakkan imej agama dan umat Islam, malah wajar jika diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Gunakan teknologi dan kemudahan untuk tujuan yang baik dengan merujuk panduan ilmu dan kebenaran, lebih-lebih lagi membabitkan hukum, adab dan sensitiviti masyarakat sekeliling," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!