Patutlah lari, lori dipandu bawa kabel curi rupanya
DUNGUN - Cubaan tiga lelaki melarikan diri selepas lori yang dinaiki mereka dikejar polis kira-kira 100 kilometer awal pagi tadi gagal setelah seorang daripada mereka ditahan polis berhampiran Jambatan Nibong, dekat sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, bagaimanapun dua lagi rakannya melarikan diri dalam kejadian tersebut.
Beliau berkata, pihaknya telah mengesan sebuah lori Isuzu yang dinaiki kesemua suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan di Kampung Santong, Paka, dekat sini kira-kira jam 4 pagi tadi.
"Pemandu lori itu bertindak memecut laju dengan melarikan diri memasuki Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan merempuh penghadang Plaza Tol Paka sewaktu diarahkan untuk berhenti.
"Kemudian suspek melarikan diri ke arah Kuala Terengganu dan keluar di Plaza Tol Ajil sebelum berpatah balik ke Dungun, melalui Jalan Jerangau-Jabor.
"Suspek juga merempuh satu lagi penghadang tol ketika keluar dari lebuhraya berkenaan," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Maizura menyatakan suspek turut merempuh sekatan jalan raya di kawasan Jerangau.
Katanya, kemudian pemandu lori itu memberhentikan lorinya berhampiran Jambatan Nibong sebelum dia dan kelindan yang masing-masing berusia lingkungan 30-an bertindak melarikan diri.
"Bagaimanapun, seorang lelaki yang berada di belakang lori berusia 35 tahun tidak sempat melarikan diri.
"Lelaki itu berjaya diberkas kira-kira jam 6.55 pagi," jelasnya.
Dalam pada itu, Maizura berkata, hasil pemeriksaan menemui kabel Telekom Malaysia sepanjang 44.2 meter di belakang lori tersebut yang dipercayai dicuri suspek.
Jelas beliau, hasil semakan mendapati lelaki yang telah ditahan mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah.
Maizura berkata, pihaknya sedang giat mengesan dua lagi suspek yang melarikan diri dalam kejadian berkenaan.
"Jadi kita minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!