Rumah anggota APM roboh dirempuh kepala air

Banjir di Terengganu turut merosakkan rumah seorang anggota APM Setiu. Foto Bernama
Banjir di Terengganu turut merosakkan rumah seorang anggota APM Setiu. Foto Bernama
A
A
A

BANDAR PERMAISURI - Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Setiu tidak dapat menahan rasa hiba apabila mengetahui sebahagian daripada rumahnya di Kampung Hulu Seladang, di sini roboh dirempuh kepala air, tengah hari semalam.

Lebih memilukan Nor Zihan Adam, 37, apabila kejadian itu berlaku ketika beliau sedang bertugas membantu mangsa banjir di kampung lain.

"Saya dihubungi suami, Mohd Hairuzi Hamzah, 40, semalam memberitahu rumah kami rosak dilanda kepala air pada 12.30 tengah hari.

"Sebaik mengetahui kejadian itu, saya mohon kebenaran untuk pulang tetapi pegawai saya minta agar saya tunggu dulu kerana keadaan waktu itu agak berbahaya memandangkan air yang melimpah di atas jalan raya masih deras,” katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Anggota APM dibantu penduduk kampung mengangkat kit makanan untuk diserahkan kepada mangsa banjir di Kampung Besut pada Khamis. Foto Bernama
Anggota APM dibantu penduduk kampung mengangkat kit makanan untuk diserahkan kepada mangsa banjir di Kampung Besut pada Khamis. Foto Bernama

Menurutnya, setelah keadaan lebih baik, beliau dihantar dengan menaiki bot menyeberangi laluan yang terputus sebelum terpaksa berjalan kaki sejauh hampir empat kilometer ke rumahnya berikutan jalan dinaiki air.

Nor Zihan berkata, apabila sampai di rumah, beliau begitu sedih melihat kediaman yang didiami sejak empat tahun lepas itu roboh di bahagian dapur dan bilik tidur.

"Bahagian tersebut roboh akibat dirempuh sisa pokok dan kayu yang dihanyutkan arus kepala air yang melanda sebanyak dua kali semalam iaitu pada kira-kira 7 pagi dan 12 tengah hari.

"Rumah kami juga pernah dilanda kepala air tahun lepas kerana terletak hanya 10 meter dari Sungai Setiu,” katanya yang tetap bersyukur kerana ketika kejadian kepala air semalam, suami dan anak-anaknya berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Seladang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya buat masa ini mereka sekeluarga akan tinggal di PPS itu sementara kerja-kerja baik pulih rumah dijalankan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!