Kongsi aktiviti anak di media sosial undang risiko jenayah seksual

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perkongsian ibu bapa mengenai aktiviti harian anak mereka seperti gambar dan daftar masuk lokasi secara terbuka di media sosial boleh mengundang risiko kepada perlakuan jenayah seksual.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, maklumat berkenaan menarik pelaku seksual terutama golongan pedofilia untuk merancang perbuatan jenayah.

"Berhati-hati apabila membuat sebarang hantaran kerana impak daripada sekeping gambar boleh membawa kepada jenayah seperti pemerasan seks.

"Bagi yang memasuki alam remaja berusia 12 dan 13 tahun, mereka ini sudah boleh keluar rumah tanpa kawalan dan berjumpa dengan pelaku dan ini membawa kepada kes rogol, amang seksual dan lain-lain...semua ini hanya bermula daripada hantaran di media sosial,” katanya ketika menjadi tetamu pada program ‘Apa Khabar Malaysia’ terbitan Bernama TV hari ini.

Siti Kamsiah berkata, ibu bapa seharusnya mengawal penggunaan dan perkongsian aktiviti anak-anak di media sosial, selain perlu menjadi individu yang paling dipercayai oleh anak-anak untuk berkongsi masalah.

Jelasnya, ini kerana anak-anak yang sedang meningkat remaja berpotensi diumpan seorang pedofilia yang kononnya bersedia berkongsi masalah dengan mereka.

Dalam pada itu, Siti Kamsiah berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, kes jenayah seksual mencatatkan peningkatan 15 peratus pada tahun lepas berbanding 9.6 peratus pada 2022. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!