'Saya percaya bukan penalti, tiada penalti...' - Klinsmann

Jurgen Klinsmann - Foto: AFP
Jurgen Klinsmann - Foto: AFP
A
A
A

KEPUTUSAN pengadil memberikan sepakan penalti kepada Malaysia menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia Qatar 2023 disifatkan tidak wajar.

Itu luahan pengendali Korea Selatan, Jurgen Klinsmann yang menyifatkan pengadil telah menyebabkan Taeguk Warriors terikat 3-3 dengan Harimau Malaya pada Khamis.

Tambah pengendali kelahiran Jerman itu, pengadil tidak sepatutnya memberikan sepakan penalti kepada skuad kendalian Kim Pan-gon selain gol ketiga Harimau Malaya boleh dipertikaikan.

“Perlawanan amat menarik, enam gol dihasilkan termasuk gol minit-minit akhir pasukan Malaysia.

“Jelas sekali saya marah dengan gol yang dihasilkan lawan, saya percaya bukan sepakan penalti, tiada penalti.

“Ada satu lagi gol juga tidak sepatutnya diberikan, namun diberikan (gol ketiga Malaysia),” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Aksi di Stadium Al Janoub itu, gol Korea Selatan dijelmakan Jeong Woo-yeong minit ke-21, Lee Kang-in (m-83) dan Son Heung-min (m-94) menerusi sepakan penalti.

Gol Harimau Malaya pula dihasilkan Faisal Halim minit ke-51, Arif Aiman Hanapi (penalti m-62) dan Romel Morales (m-115).

Artikel Berkaitan:

Keputusan seri itu menyaksikan Harimau Malaya mengakhiri saingan Kumpulan E dengan mengumpul satu mata selepas tewas 0-4 kepada Jordan diikuti 0-1 kepada Bahrain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!