Apabila pergi sekolah dikatakan buang masa

Generasi muda yang masih bersekolah agar tidak melupakan pelajaran walaupun sudah berjaya sebagai pencipta konten. Foto hiasan
Generasi muda yang masih bersekolah agar tidak melupakan pelajaran walaupun sudah berjaya sebagai pencipta konten. Foto hiasan
A
A
A

KITA semua sedia maklum bahawa sistem pendidikan di negara ini bermula seawal tujuh tahun iaitu Tahun Satu sehinggalah usia 17 tahun di Tingkatan Lima.

Terdapat pelbagai pilihan pembelajaran seperti sekolah kebangsaan, swasta, berasrama penuh, vokasional dan teknik, malah belajar dari rumah atau homeschool.

Bagaimanapun, baru-baru ini, penyanyi muda, As’ad Ahmad Muhammad Motawh atau lebih dikenali sebagai As’ad Motawh menjadi perhatian warganet selepas membuat kenyataan bahawa pergi ke sekolah merupakan pembaziran masa.

Kenyataan beliau itu telah mencetuskan kemarahan ramai dan menimbulkan polemik.

As’ad yang terkenal dengan lagu Senyum itu membuat kenyataan kontroversi berkenaan dalam podcast bersama pempengaruh, Azri Walter dan Yousaf yang dimuat naik di TikTok.

Dalam video itu, As’ad berkata, dia tidak melihat keselarian dalam pekerjaan yang dilakukan sekarang dengan apa dipelajari sebelum ini selain menganggap sekolah hanya membuang masa.

Dia membuat keputusan untuk berhenti sekolah kerana ketika itu sudah membina kerjaya sendiri, malah mempunyai 300,000 pengikut di instagram, selain tahu menjana pendapatan dengan menyanyi.

As’ad dalam video sama juga berkata, sekolah itu dicipta untuk melahirkan generasi pekerja menyebabkan dia hanya belajar separuh masa di rumah sambil membina karier.

Artikel Berkaitan:

Mengambil contoh subjek Sains yang dipelajari di sekolah, baginya tiada keperluan serta berpendapat sistem persekolahan perlu diubah.

Menjengah ke ruangan komen video tersebut, pelbagai reaksi yang diberikan netizen selepas mendengar pendapat daripada penyanyi berusia 23 tahun itu.

Kenyataan tersebut mengundang kecaman segelintir warganet yang risau ramai anak muda mengambil serius dan melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Ada juga netizen yang mempersoalkan bagaimana As’ad boleh mahir bertutur dalam bahasa Inggeris jika benar dia tidak bersekolah. Segelintir netizen pula berkata, nasihat itu hanya boleh diguna pakai jika tergolong dalam keluarga yang kaya.

Penulis berpendapat, temu bual bernaratif sedemikian tidak seharusnya dimuat naik kerana boleh membawa pengaruh buruk terutama kepada pelajar yang mungkin tidak faham secara total pandangan dilontarkan.

Ini kerana, selebriti atau orang berpengaruh mempunyai tanggungjawab sosial dalam menyebarkan perkara positif dan bukannya negatif kepada masyarakat.

Sememangnya kenyataan yang dikeluarkan itu adalah pendapat masing-masing tetapi sebagai figura awam, setiap perkara yang keluar daripada mulut akan dipandang serius oleh orang ramai terutamanya golongan muda.

Perlu diingatkan, sekolah bukan sekadar belajar subjek di dalam kelas semata-mata tetapi ia adalah tempat untuk bergaul dalam membina sahsiah diri para pelajar.

Bagi penulis, sekolah dikira membuang masa hanya kepada individu yang sasarannya bukan mahu menjadi golongan profesional seperti doktor, jurutera, peguam, arkitek, guru, pengaturcara dan lain-lain kerjaya yang memerlukan sijil akademik.

Bagi orang yang sasaran serta keutamaannya ingin menjadi pempengaruh, penyanyi, pelakon, ahli sukan dan seumpama dengannya, belajar di sekolah mungkin tidak penting bagi mereka.

Pandangan As’ad itu benar-benar berbeza dengan seorang usahawan muda yang juga pempengaruh media sosial, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming.

Khairul menasihati generasi muda yang masih bersekolah agar tidak melupakan pelajaran walaupun mereka sudah berjaya sebagai pencipta konten.

Justeru, diharapkan agar generasi muda kini tidak mudah terpengaruh dengan pandangan negatif mengenai persekolahan kerana ia merupakan tempat untuk melahirkan generasi berilmu pengetahuan dan segalanya bermula di sekolah.

*Penulis ialah wartawan Meja Am Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!