Pan Gon bangga pemain capai keputusan menakjubkan

Pan Gon memantau pasukan kendaliannya pada perlawanan Korea Selatan menentang Malaysia bagi peringkat Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub malam tadi. - Foto: Bernama
Pan Gon memantau pasukan kendaliannya pada perlawanan Korea Selatan menentang Malaysia bagi peringkat Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub malam tadi. - Foto: Bernama
A
A
A

KETUA Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon memuji prestasi cemerlang Harimau Malaya kerana berjaya mencatat keputusan seri 3-3 menentang juara dua kali Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub di sini, malam tadi.

Pengendali kelahiran Korea Selatan berusia 54 tahun itu turut berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kelab dan penyokong tempatan atas sokongan tanpa syarat terhadap pasukannya.

Pan Gon mengakui kesukaran untuk memotivasikan pemainnya menjelang perlawanan malam ini menentang Taegeuk Warriors selepas gagal mara ke pusingan 16 terbaik.

"Bagi kami, keputusan yang hebat. Ia adalah permainan hebat dan saya berterima kasih kepada semua pemain. Kami cuba memberitahu pemain bahawa kita berdepan pasukan gergasi Asia dengan kehadiran penjaring terbanyak liga perdana negara itu dan pemain pertahanan liga Bundesliga... jadi ia satu cabaran yang hebat.

"Saya sangat berbangga dengan pemain saya. Kami bergelut pada separuh masa pertama tetapi bangkit pada separuh masa kedua. Gol penyamaan pada penghujung adalah keputusan yang menakjubkan untuk kami.

"Korea adalah pasukan berkualiti tinggi, anda boleh melihat dari statistik penguasaan bola. Kami akan memperoleh banyak pengalaman daripada pertemuan ini, katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.

Mengulas mengenai lawan, Pan Gon berkata beberapa kelemahan pasukan Korea Selatan tidak mudah dieksploitasi dan sukar membandingkan dengan dua perlawanan menentang Jordan dan Bahrain.

"Saya amat menghormati pasukan Korea walaupun kadangkala mereka bergelut menentang pasukan lain tetapi harap mereka boleh melangkah jauh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada perlawanan mendebarkan itu, Malaysia berjaya mengikat skuad bimbangan Jurgen Klinsmann pada masa kecederaan menerusi penyerang naturalisasi baharu negara, Romel Morales untuk mengaibkan lawan yang berada di ranking ke-23 dunia.

Korea Selatan berada di depan pada minit 22 hasil tandukan Jeong Woo-yeong untuk mendahului 1-0 pada babak pertama sebelum Mohamad Faisal Abdul Halim menyamakan kedudukan pada minit ke-51.

Enam minit kemudian Malaysia dihadiahkan sepakan penalti selepas Arif Aiman Hanapi dijatuhkan dan pemain kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tenang menewaskan penjaga gol, Jo Hyeon-woo.

Korea Selatan bangkit selepas itu untuk menyamakan kedudukan menerusi gol sendiri penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed 10 minit kemudian sebelum mendahului menerusi sepakan penalti oleh bintang Totteham Hotspur, Son Heung-min.

Keputusan seri itu menyaksikan Korea Selatan menduduki tempat kedua kumpulan dengan lima mata di belakang juara kumpulan Bahrain (enam mata) yang menewaskan Jordan 1-0 yang turut mara ke pusingan 16 terbaik selaku antara pasukan ketiga terbaik peringkat kumpulan.

Malaysia menamatkan saingan dengan satu mata di tangga tercorot kumpulan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!