Impian penduduk Saujana Puchong lihat masjid siap belum tercapai

Keadaan Masjid Saujana Puchong memerlukan dana tambahan RM9.7 juta bagi meneruskan pembinaannya.
Keadaan Masjid Saujana Puchong memerlukan dana tambahan RM9.7 juta bagi meneruskan pembinaannya.
A
A
A

PUCHONG - Masjid Saujana Puchong yang mula dibina pada tahun 2022 dan kini hampir 46 peratus siap masih memerlukan dana kira-kira RM9.7 juta merangkumi pembinaan fasa pertama (RM3 juta) dan fasa kedua (RM6.7 juta) bagi melihat ia berdiri teguh untuk manfaat umat Islam di kawasan itu.

Masjid yang telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) itu dibangunkan di atas tapak tanah seluas 7 ekar (2.8 hektar) yang mana ia merangkumi pembinaan bangunan, bilik pengurusan jenazah dan pejabat masjid bagi fasa pertama.

Mohd Sharif (tengah) menunjukkan pelan Masjid Saujana Puchong yang tertangguh pembinaan disebabkan faktor dana kewangan.
Mohd Sharif (tengah) menunjukkan pelan Masjid Saujana Puchong yang tertangguh pembinaan disebabkan faktor dana kewangan.

Sementara itu, bagi fasa kedua, ia akan melibatkan pembinaan kemudahan dewan serbaguna, 10 unit kios, rumah kakitangan masjid serta lain-lain prasarana.

Penasihat Jawatankuasa Penaja Pembinaan Masjid Saujana Puchong (JKPPMSP), Datuk Mohd Sharif Iskandar berkata, setakat ini sebanyak RM3.7 juta hasil sumbangan awam telah digunakan bagi pembangunan masjid itu.

MOHD SHARIF
MOHD SHARIF

Berdasarkan perancangan awal, masjid itu katanya boleh menampung sehingga 2,500 jemaah dan sepatutnya memulakan pembinaan kira-kira 10 tahun lalu, namun tertangguh disebabkan beberapa faktor terutamanya soal kewangan.

“Meskipun berdepan dengan pelbagai kekangan terutamanya kewangan, namun JKPPMSP tidak pernah berhenti berusaha untuk merealisasi hasrat mewujudkan masjid ini memandangkan ia sangat diperlukan.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, walaupun projek pembangunan tertangguh lama, namun akhirnya kita dapat teruskan sehingga perkembangan projek mencapai 46 peratus,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Kesulitan

Bagaimanapun, ketika ini masjid tersebut masih bergelut dengan dengan kesulitan dana kewangan yang memungkinkan ianya terpaksa ditangguhkan lagi pembinaannya.

“Pihak kami masih buntu. Namun, kami tidak berputus asa mengharapkan derma dan sumbangan daripada orang ramai khususnya umat Islam supaya projek ini dapat berjalan dengan lancar,” jelasnya.

Tambah Mohd Sharif, ketika ini penduduk di sekitar Saujana Puchong terpaksa bersesak di dua buah surau berdekatan untuk menunaikan solat berjemaah terutamanya solat Jumaat.

Katanya, dengan kapasiti sebuah surau yang hanya mampu memuatkan kurang 1,000 jemaah satu satu-satu masa itu sememangnya menyulitkan umat Islam di kawasan sekitar.

“Besar harapan kami agama masyarakat Islam dapat membantu untuk memberi sumbangan dana kepada masjid ini supaya impian jemaah untuk menunaikan ibadah dengan selesa dapat dilaksana.

“Pihak barisan jawatankuasa sangat merayu agar orang ramai terus menyalurkan sumbangan kerana dana yang kami ada ketika ini sangat genting. Pihak kami perlu membuat bayaran kepada kontraktor mengikut jadual yang ditetapkan bagi memastikan pembangunan masjid ini berjalan dengan baik,” rayu beliau. Inisiatif dan harapan

Mohd Sharif yang juga Ketua Kampung Batu 14 Puchong itu turut memaklumkan pelbagai inisiatif telah dilakukan pihaknya dalam mengutip dana awam antaranya dengan membuka tabung, membuat kutipan di masjid dan surau berdekatan selain membuat pelbagai aktiviti.

Malah, pihaknya yang ingin membuat sumbangan dana layak mendapat resit Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) seterusnya mendapat pengecualian cukai pendapatan sekiranya menyumbang RM300 ke atas.

Sementara itu, Pengerusi JKPPMSP, Amirullah Omar Sidi, 62, berkata, ketika ini terdapat lebih 7,000 unit rumah yang majoritinya beragama Islam menetap di kawasan perumahan di sekitar Saujana Puchong.

AMIRULLAH
AMIRULLAH

Katanya, berikutan ketiadaan masjid di kawasan berkenaan ketika ini, umat Islam terpaksa ‘berpecah’ menunaikan solat Jumaat di dua surau yang turut dibina atas hasil sumbangan orang awam itu.

“Saya telah menduduki kawasan ini kira-kira 20 tahun dan menjadi antara penduduk terawal di sini. Jumlah kawasan perumahan juga bertambah dengan begitu ketara.

“Kalau mengikut kajian penduduk yang kita buat beberapa tahun lalu, penduduk Islam di sini lebih dari 17,000 orang,” katanya.

Justeru Amirullah berharap, masjid yang hampir separuh siap ketika ini dapat berjalan dengan baik kerana umat Islam sangat berharap untuk melihat kewujudan masjid itu.

“Surau yang ada ketika ini menjadi pusat pelbagai aktiviti bagi penduduk di sekitar. Jadi, dengan adanya masjid ini ia berupaya merancakkan lagi aktiviti untuk meningkatkan ukhuwah umat Islam di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang jemaah, Sahidan Dolmat, 52, ketika ditemui memberitahu pembinaan masjid itu merupakan harapan terbesar umat Islam di kawasan berkenaan yang masih menantikannya lebih 10 tahun.

“Mewakili seluruh jemaah di kawasan ini, besar harapan kami untuk melihat masjid ini dapat disiapkan dan digunakan secepat mungkin,” katanya.

SAHIDAN
SAHIDAN

JKPPMSP mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kariah di kawasan Saujana Puchong ini khasnya yang menggembleng tenaga berinfaq ke dana Pembinaan Masjid Saujana Puchong.

Pada masa sama, JKPPMSP mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama berinfaq menerusi Kempen Jom Infaq Pembinaan Masjid Saujana Puchong yang pastinya akan dibalas dengan seribu kebaikan.

Info:

Kempen Jom Infaq Pembinaan Masjid Saujana Puchong

No Akaun: 1226-1010-0019-25 (Bank Islam)

No Image Caption

Hubungi:

Amirullah - 019 2305248 - Pengerusi JKPPMSP

Sahidan - 016 3667610 - Pembangunan JKPPMSP

Zaini - 012 6197475 - Komunikasi JKPPMSP

Facebook: https://www.facebook.com/MasjidSaujanaPuchong/?locale=ms_MY

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!