STORM, K9 diatur gerak cari mangsa tanah runtuh Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS - Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Batu 59, Kampung Raja di sini, pada Jumaat.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, turut digerakkan bantuan pasukan khas dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, operasi melibatkan rakan strategik termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) bomba.
"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands menerima panggilan daripada orang awam jam 2.51 pagi berhubung kejadian.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari BBP Cameron Highlands ke lokasi," katanya.
Beliau berkata, ketika tiba di lokasi mendapati rumah dihuni lima mangsa itu dihempap tanah runtuh.
"Operasi pencarian mangsa segera dijalankan sebelum salah seorang daripada mereka ditemui maut tertimbus.
"Operasi SAR mencari dan menyelamat empat lagi mangsa masih diteruskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!