Tangkapan lebih 100,000 kes dadah, rampasan cecah RM704 juta - JSJN

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 179,865 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah sepanjang 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, kesemua individu berkenaan terlibat dengan 158,493 pelbagai kesalahan dadah dan 1,012 individu telah dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Menurutnya, selain itu, 7,403 penagih dadah telah diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan daripada jumlah itu 4,893 penagih telah disabitkan di mahkamah dalam tempoh yang sama.

"JSJN juga telah merampas dadah seberat 132,354.7 kilogram (kg) dan 469,538.39 liter pelbagai jenis dadah serta daun ketum yang nilai keseluruhan hampir RM704.9 juta.

"Jumlah ini meningkatkan sebanyak 33.1 peratus berbanding rampasan pada tahun 2022 iaitu sebanyak 124,781.07 kg dadah dan 51,199.88 liter dadah yang bernilai RM460.75 juta," katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan JSJN di Bukit Aman di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, peningkatan rampasan dadah dan tangkapan yang telah berjaya dilakukan membuktikan bahawa JSJN mempunyai kehebatan luar biasa dalam melaksanakan tugas memerangi dadah dalam negara.

Sementara itu, mengulas mengenai isu integriti pegawai dan anggota JSJN, Mohd Kamarudin meminta kesemua mereka untuk mematuhi pada Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Tambahnya, semua warga JSJN diminta tidak terlibat dengan sebarang aktiviti-aktiviti salah laku dan menjauhi dadah.

Artikel Berkaitan:

“Saya difahamkan ada seorang pegawai JSJN terlibat judi di Kedah dan saya minta semua pihak beri perhatian berhubung penyeliaan anggota,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!