Pelan A alami kelewatan kerana hujan lebat, arus deras - PBAPP
BUTTERWORTH - Pelan tindakan kecemasan (Pelan A) membabitkan kerja-kerja mengapit semula bahagian paip pecah di dasar Sungai Perai, yang sepatutnya siap pada Jumaat mengalami kelewatan berikutan hujan lebat dan arus bawah air yang deras.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataannya berkata, susulan daripada itu, penyelam tidak dapat menyelesaikan kerja seperti yang dijadualkan.
Menurut PBAPP, pada jam 2 pagi Jumaat, pasukan baharu yang terdiri daripada 10 penyelam mengambil alih kerja-kerja berkenaan daripada pasukan asal.
"Penyelam pengganti sedang berusaha untuk menyelesaikan kerja-kerja pengapit bawah air secepat mungkin.
"Untuk pengaktifan bekalan air di Bukit Dumbar, PBAPP telah mengaktifkan pelan bekalan tambahan untuk membekalkan air kepada kira-kira 15,000 hingga 20,000 daripada 120,000 pengguna yang terjejas pada jam 12 tengah hari Khamis," katanya pada Jumaat.
Tambah PBAPP, terdapat dua saluran paip 1,350 milimeter (mm) yang menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke Pulau Pinang.
"PBPP sedang mengepam lebih banyak air pada tekanan tinggi melalui saluran paip kedua (tiada kerosakan) ke Kompleks Bukit Dumbar di Pulau Pinang.
"Dari Bukit Dumbar, air sedang dipam semula kepada seramai mungkin pengguna terjejas di kawasan dari Gelugor ke selatan di Bayan Lepas," katanya lagi.
PBAPP berkata, ketika ini, pihaknya tidak dapat menyediakan senarai kawasan yang tepat.
"Ini adalah senario bekalan tambahan. Tekanan rendah dan bekalan terputus-putus. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya sejumlah pengguna terjejas akan menerima sedikit air," katanya.
Sementara itu, Pelan B yang membabitkan pemasangan dua paip baharu berukuran 600mm yang turut dilaksanakan ketika ini sedang mengalami kemajuan lebih awal daripada jadual ditetapkan.
"Kerja-kerja persediaan untuk Pelan B berjalan lebih awal daripada jadual, hasil kerja pantas oleh kontraktor.
"PBAPP sedang mengusahakan rancangan yang berpotensi untuk melaksanakan kerja-kerja lencongan bagi menyambungkan dua saluran paip 600mm baharu pada Ahad ini dan bukannya pada Isnin seperti yang dijadualkan pada asalnya.
"PBAPP akan memberikan lebih banyak kemas kini tentang Pelan A dan Pelan B dalam masa terdekat, selepas fakta dan angka disemak serta disahkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!