SAM gesa kaji, tarik kembali pembangunan di Cameron Highlands

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Meenakshi
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Meenakshi
A
A
A

GEORGE TOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang dengan semua projek di Cameron Highlands yang terdedah dengan kejadian tanah runtuh terutamanya ketika hujan lebat.

Walaupun punca kejadian belum dapat disahkan, projek di kawasan bukit yang semakin banyak dilihat amat membimbangkan.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu menarik semula kebenaran yang diberikan terhadap projek pembangunan di kawasan sensitif terhadap alam sekitar susulan intensiti hujan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Menurutnya, pada Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengarahkan supaya kajian semula semua projek di kawasan bukit dan tanah tinggi di Cameron Highlands dilaksanakan kerana bimbang berlaku bencana berikutan hujan lebat.

"SAM juga menyuarakan kebimbangan sama yang diutarakan oleh Agong kita, dan meminta pihak berkuasa menghentikan sebarang kelulusan lanjut mengenai pembersihan untuk semua jenis projek selain membuat semakan secara menyeluruh terhadap kelulusan yang diberikan sebelum ini.

"Bagaimanapun, kita lihat tiada tindakan susulan diambil dan ini jelas menunjukkan, kebimbangan Baginda tidak diendahkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Justeru, katanya, SAM memohon supaya satu 'task force' ditubuhkan untuk menjalankan semakan dan mendedahkan penemuan kepada umum.

Meenakshi menambah, langkah segera juga perlu diambil oleh pihak berkuasa Persekutuan untuk memulihkan cerun berisiko selain tindakan pencegahan bagi mengelakkan tanah runtuh serta kegagalan cerun pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Pembangunan dan penerokaan bukit untuk pertanian dan pembinaan sedang dijalankan secara besar-besaran termasuk di Blue Valley.

"Ia menyebabkan keindahan Cameron Highlands dengan kehijauan hutannya telah hilang.

"Pembangunan yang terlalu banyak menyebabkan pemandangan di Cameron Highlands tidak lagi secantik dahulu dengan pemandangan yang hijau," katanya.

Dalam kejadian pada awal Jumaat, seorang lelaki maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands.

Dalam kejadian yang dilaporkan jam 2.51 pagi itu, empat yang lain termasuk seorang wanita dikhuatiri masih tertimbus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!