Tanah runtuh Cameron Highlands: JKR bantu operasi pembersihan - Nanta

Laporan Sinar Harian. Alexander Nanta Linggi (kanan).
Laporan Sinar Harian. Alexander Nanta Linggi (kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR- Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan kerja-kerja pembersihan tanah runtuh di laluan masuk kawasan kejadian bencana itu di Cameron Highlands bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hasil semakan mendapati laluan dan lokasi kejadian bukan berada di bawah seliaan JKR, namun jabatan itu akan terus memantau situasi dan bersedia menyalurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan.

"Saya sudah mendapatkan laporan daripada JKR dan dimaklumkan kejadian berlaku melibatkan sebuah rumah di Batu 59, Kampung Raja dan mengorbankan seorang mangsa sementara empat yang lain dilaporkan masih hilang," katanya dalam satu hantaran melalui media sosial beliau.

Sambil menzahirkan rasa dukacita dengan insiden tanah runtuh yang berlaku pada 2.51 pagi tadi, Nanta berkata,operasi SAR sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa membabitkan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Saya ingin menasihati semua pihak supaya berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama," katanya.

Dalam kejadian itu, kesemua mangsa merupakan warga Myanmar berusia antara 25 hingga 56 tahun dan mayat mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 11.05 pagi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!