Tiga peguam sah tidak wakili Daim dan isteri
KUALA LUMPUR - Peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden tidak lagi mewakili bekas Menteri Kewangan Tun Dr Daim Zainuddin dan isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.
Peguam, M Puravalen daripada Tetuan Valen, Oh & Partners, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media pada Jumaat.
“Ini merupakan isu antara anak guam dan peguam, ia adalah sulit dan tidak beretika untuk didedahkan kepada sesiapa.
“Bagaimanapun, saya akan terus mewakili Tun (Daim) dan Toh Puan (Naimah),” katanya yang enggan mengulas mengenai punca perkara itu.
Pada 23 Januari lalu, Na'imah, 67, didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham dan sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Jalan Cantoment Road, Penang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Dalam kes itu, Mohd Yusof, Puravalen, Md Yunos Shariff dan Alex Tan Chie Sian hadir bagi mewakili Na’Imah manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide.
Pada 21 Disember 2023, media melaporkan bahawa SPRM telah menyita Menara Ilham milik keluarga itu.
Sementara SPRM pada 30 Disember tahun sama mengesahkan, bekas pemimpin kanan UMNO itu disiasat berdasarkan maklumat Kertas Pandora sejak Februari 2023.
Tidak lama kemudian, empat lagi individu berkaitan dengan Daim turut dipanggil memberi keterangan.
Pada 10 Januari lalu, Daim memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan mengarahkan SPRM menghentikan penyiasatan terhadapnya, isteri serta empat anak termasuk Ilham Tower Sdn Bhd mengaitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Selain Daim, 86, isterinya, Nai’mah dan empat anak, Asnida, 63, Md Wira Dani, 46, Muhammed Amir Zainuddin, 29, Muhammed Amin Zainuddin, 26, serta lham Tower selaku pemohon pertama hingga ketujuh turut memfailkan permohonan sama menerusi Tetuan Tommy Thomas.
@sinarharianonline Tiga peguam sah tidak wakili Daim dan isteri #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Daim #Isteri #Peguam #Mahkamah #Menteri
Earned It (In the Style of Weeknd) [Karaoke Version] - Instrumental King
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!