Operasi menyelamat tumpu dua sektor: Bomba
CAMERON HIGHLANDS - Operasi mencari dan menyelamat mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands tertumpu kepada dua daripada empat sektor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pencarian itu melibatkan sektor B dan sektor C pada keluasan hampir 25 meter dan anggaran kecerunan 35 hingga 45 darjah.
Menurutnya, tumpuan diberikan ke arah dua sektor itu kerana percaya mangsa terperangkap di lokasi sama sekitar kawasan sektor itu.
"Ini berdasarkan kepada lokasi mangsa pertama dan kedua yang ditemukan hari ini iaitu di sektor C dan B.
"Kelebaran keseluruhan runtuhan dianggarkan 50 meter, jadi dengan keluasan itu kita pecahkan pencarian kepada empat sektor A, B, C dan D," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini pada Jumaat.
Sinar Harian melaporkan, seramai lima mangsa termasuk seorang wanita tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu telah dikenal pasti sebagai warga Myanmar.
Mangsa pertama dikenali sebagai Haphey, 36, ditemui maut tertimbus jam 5.40 pagi pada Jumaat.
Pasukan mencari dan menyelamat kemudiannya menemui mayat kedua pada jam 12.05 tengah hari.
Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) serta bantuan keanggotaan dari Bomba Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
Katanya, berdasarkan laporan, kejadian tanah runtuh berlaku pada ketinggian kira-kira 80 meter dan menimpa dua rumah pekerja yang dihuni lima mangsa berkenaan.
"Kita dapati ketinggian tanah berada pada paras dua meter dan daripada pemerhatian awal, kemungkinan tiga lagi mangsa yang masih tertimbus itu berada di lokasi yang sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!