Pesara rugi RM678,000 akibat pelaburan tidak wujud

Seorang pesara mengalami kerugian RM678,000 setelah dipercayai ditipu sindiket pelaburan tidak wujud. Gambar hiasan - Foto 123RF (Gambar kecil: Mohamad Fakhruddin)
Seorang pesara mengalami kerugian RM678,000 setelah dipercayai ditipu sindiket pelaburan tidak wujud. Gambar hiasan - Foto 123RF (Gambar kecil: Mohamad Fakhruddin)
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pesara mengalami kerugian RM678,000 setelah dipercayai ditipu sindiket pelaburan tidak wujud menerusi 17 transaksi yang dilakukan sejak November sehingga Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, siasatan mendapati mangsa berumur 84 tahun itu mulanya berkenalan dengan seorang lelaki tempatan yang memperkenalkannya mengenai pelaburan saham berkenaan.

"Mangsa dijanjikan pulangan lumayan sekiranya menyertai urusan pelaburan saham dalam talian itu mengakibatkan mangsa tertarik.

"Terperdaya dengan tawaran itu, mangsa kemudiannya telah melakukan sebanyak 17 transaksi berjumlah RM678,000 yang dimasukkan dalam 12 akaun bank milik sebuah syarikat berdaftar di negara ini," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, transaksi berkenaan dilakukan bermula pada 20 November sehingga 29 Disember 2023.

"Suspek juga dipercayai berulang kali meminta mangsa membuat bayaran tambahan sekiranya mahukan pulangan keuntungan seperti dijanjikan.

"Mangsa yang merasakan tertipu dengan tindakan itu kemudiannya melaporkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, polis menasihatkan agar masyarakat agar tidak terperdaya dengan mana-mana tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.

Artikel Berkaitan:

"Sentiasa peka dengan mana-mana pelaburan, elakkan terjerat dengan kata-kata manis yang dijanjikan sebaliknya semak lebih lanjut berkaitan sesuatu pelaburan itu.

"Semakan perlu dilakukan bagi memastikan sesebuah syarikat itu berdaftar atau tidak dengan mana-mana agensi berkaitan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!