Peniaga tetap gigih buka kedai runcit walau dinaiki air
HULU TERENGGANU - Seorang peniaga tetap gigih mencari rezeki dengan menjalankan operasi perniagaan seperti biasa meskipun kedai runcitnya di Kampung Nibong, di sini dinaiki air sejak dua hari lalu.
Kamaruzaman Othman, 44, berkata, dia tetap membuka kedai tersebut bagi memudahkan penduduk setempat membeli barangan keperluan.
Dia yang mengusahakan perniagaan runcit bersama isterinya, Engku Hasmah Engku Kamaruzaman, 49, menyatakan kedai itu tetap beroperasi selagi keadaan air berada dalam keadaan paras yang selamat.
"Kita buka kedai ini untuk bantu orang-orang kampung dapatkan barang keperluan seperti minyak, beras dan sebagainya.
"Kedai ini memang dinaiki air namun ia bukanlah dalam paras bahaya. Jadi walaupun terpaksa berendam kaki dalam air yang keruh dan kesejukan, namun dengan memikirkan keperluan orang kampung maka kedai ini tetap dibuka untuk memastikan penduduk mendapat bekalan yang dicari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kedai runcitnya di Kampung Nibong dekat sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, Kamaruzaman berkata, dia akan menutup kedai sekiranya keadaan banjir di kawasan tersebut semakin buruk.
Dalam pada itu, dia menyatakan stok yang dijual tidak begitu banyak di kedainya susulan tidak mahu mengambil risiko mendapat kerugian akibat barang rosak ditenggelami banjir.
"Kita memang tak simpan banyak stok bekalan dan hanya menjual barangan yang menjadi keperluan penduduk di sini.
"Niat kami (tetap buka kedai) hanya nak bantu penduduk terputus hubungan dan tidak perlu jauh-jauh keluar dari kampung semata-mata untuk cari barang keperluan asas," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!