Lelaki maut kereta bertembung treler
KUANTAN - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Kampung Cherating, di sini pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa yang menaiki kereta Proton Persona, Mohamad Faris A Zuhari, 30, dari Bukit Setongkol di sini tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Pemandu Proton Persona, Muhammad Rahimu Adha Ramizan, 21, dari Beserah, hanya mengalami kecederaan, manakala pemandu treler, Zainuri Muhamad, 50, tidak cedera.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki dua pekerja am Pelabuhan Kuantan itu dalam perjalanan dari arah Kemaman menghala ke Kuantan.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika melalui laluan berselekoh lalu berpusing dan terbabas ke laluan bertentangan.
"Pemandu treler tanpa muatan yang dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kemaman gagal mengelak kereta mangsa lalu berlaku perlanggaran," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk proses bedah siasat, manakala pemandu kereta yang cedera dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dikerah ke lokasi untuk bantuan menyelamat selepas menerima laporan kejadian.
Menurutnya, operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit mengambil masa kira-kira 10 minit bagaimanapun lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!