Pemeriksaan kenderaan secara percuma Puspakom bermula hari ini
SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menganjurkan kempen 'Huat' yang mana semua pemandu dan pemilik kenderaan persendirian berpeluang melakukan pemeriksaan kenderaan secara percuma bermula hari ini sehingga 8 Februari 2024.
Puspakom dalam satu kenyataan berkata, kempen itu dianjurkan bersempena Tahun Baharu Cina yang bakal tiba tidak lama lagi.
Katanya, ia dapat membantu mengenal pasti tahap keselamatan kenderaan menggunakan peralatan pemeriksaan berkomputer.
"Pemeriksaan ini melibatkan pelbagai komponen penting kenderaan termasuk brek, suspensi, gelincir sisi, tayar dan lain-lain.
"Pemilik kenderaan boleh mengunjungi mana-mana cawangan Puspakom seluruh negara bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang kecuali cawangan Shah Alam, Taman Bukit, Maluri dan Pasir Gudang," ujarnya pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu, pemeriksaan tersebut tidak memerlukan temu janji iaitu kenderaan akan diterima secara 'walk-in'.
"Puspakom akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM1.88 bagi setiap kenderaan yang menjalankan pemeriksaan percuma kepada badan amal.
"Ini bermaksud pemilik kenderaan bukan sahaja dapat memastikan tahap keselamatan kenderaan mereka, malah secara tidak langsung turut membantu golongan yang memerlukan," jelasnya.
Kenyataan itu turut memberitahu, selain cawangan Puspakom, trak pemeriksaan bergerak juga akan berada di beberapa lokasi terpilih di sekitar Lembah Klang dan lain-lain.
Lokasi tersebut adalah Lotus Bukit Puchong pada 27 Januari 2023, Multimedia University (MMU), Cyberjaya, Selangor, 31 Januari 2024; Lotus Ara Damansara 1 Februari 2024 dan MMU Melaka 8 Februari 2024.
Waktu bagi perkhidmatan bergerak ini adalah dari jam 9 pagi hingga 4 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!