Isteri pelakon Allahyarham Pak Jabit bergantung mesin oksigen

Abdul Khalid bersama ibunya, Raja Maharani dengan anugerah yang pernah dimenangi oleh Allahyarham Abdul Kadir.
Abdul Khalid bersama ibunya, Raja Maharani dengan anugerah yang pernah dimenangi oleh Allahyarham Abdul Kadir.
A
A
A

ISTERI kepada pelakon terkenal dengan watak Pak Jabit atau nama sebenarnya Allahyarham Abdul Kadir Abdul Manaf iaitu Raja Maharani Raja Jaafar, 70, kini terpaksa bergantung dengan mesin oksigen 24 jam sejak Disember lalu.

Raja Maharani terpaksa bergantung dengan mesin tersebut kerana paru-parunya bermasalah selepas mengalami batuk berpanjangan.

Raja Maharani kini bergantung dengan mesin oksigen.
Raja Maharani kini bergantung dengan mesin oksigen.

Kini isteri kepada pelakon filem terkenal tersebut dijaga anak pasangan tersebut, Abdul Khalid Putera Abdul Kadir, 33, bersama isterinya selain dibantu adik Allahyarham sendiri di Kampung Rantau Panjang dekat Lanchang di sini.

Ketika ditemui, Raja Maharani mengakui tidak selesa dengan pemakaian tiub di hidung sepanjang masa namun lega kerana dapat bernafas dengan baik berbanding sebelum ini.

Abdul Khalid menceritakan keadaan Raja Maharani.
Abdul Khalid menceritakan keadaan Raja Maharani.

"Dulu jalan keluar rumah pun dah rasa semput, terbaring dan selalu kena pergi klinik mendapatkan neb.

"Sekarang ini boleh la kalau nak pergi ke tandas sendiri dan tahap oksigen dalam badan pun semakin baik sejak pakai mesin," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Khalid memberitahu, penyakit ibunya mula dikesan pada Ogos lalu sebelum disarankan menggunakan mesin itu sejak Disember lalu sekurang-kurangnya 15 jam sehari.

"Buat masa ini, kami adik-beradik menyewa mesin ini daripada farmasi RM320 sebulan dan pembelian mesin baharu dianggarkan kira-kira RM4,000," tambah anak bongsu dari empat beradik itu.

Selain memerlukan susu khas, Abdul Khalid akui berdepan pelbagai cabaran antaranya apabila bekalan elektrik terputus.

"Sebab kena pasang mesin ini sepanjang masa, pernah juga bergegas ke rumah saudara-mara supaya ibu mendapat bantuan oksigen," ujarnya yang membuat kerja-kerja kampung sebagai sumber pendapatan.

Tambahnya, buat masa ini segala perbelanjaan ditanggung bersama adik-beradiknya dan dalam proses untuk mendapatkan bantuan untuk ibunya.

Ditanya jika ada menerima kunjungan rakan-rakan bapanya, Abdul Khalid memberitahu setakat ini mereka tidak memaklumkan keadaan terkini ibunya.

Buat masa ini keluarga pelakon Allahyarham Abdul Kadir atau lebih dikenali dengan watak Pak Jabit menyewa mesin oksigen dengan kadar RM320 sebulan.
Buat masa ini keluarga pelakon Allahyarham Abdul Kadir atau lebih dikenali dengan watak Pak Jabit menyewa mesin oksigen dengan kadar RM320 sebulan.

"Okay la kalau ada yang datang lawat, rasa dihargai, tapi buat masa sekarang memang tiada sesiapa datang," akuinya.

Sebelum ini, Allahyarham Abdul Kadir atau turut dikenali Man Kadir Shamsi meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lanchang ketika berusia 68 tahun pada 7 September 2017 dipercayai masalah jantung.

Pak Jabit terkenal menerusi lakonannya dalam siri filem-filem komedi arahan Allahyarham Mamat Khalid antaranya Man Laksa, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah serta telefilem seperti Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel dan Rombongan Cik Kiah ke Kelana Jaya.

Selain itu, Allahyarham juga pernah meraih anugerah Cerita TV (Teleplay Terbaik) di Anugerah Sri Angkasa (TV) 1994 menerusi drama 'Pengarah Terbaik Tahun Ini'.

.