Kerajaan tumpu penstrukturan ekonomi, tingkat kualiti hidup rakyat
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Ekonomi MadaniI berteraskan dua tunjang penting iaitu penstrukturan semula ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat mulai 2024, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, selepas setahun mentadbir, kerajaan Madani telah memperkenalkan rangka kerja ekonomi Madani pada 2023 bagi menetapkan hala tuju ekonomi negara.
Amir Hamzah berkata, dari segi ekonomi, kerajaan akan menaikkan siling yang merujuk kepada penstrukturan semula ekonomi bagi menjadikan ekonomi Malaysia lebih tangkas dengan saiz yang lebih besar agar hasil dapat diagihkan secara sama rata kepada rakyat.
"Ini termasuk usaha yang dibuat kerajaan seperti membawa masuk pelaburan asing langsung ke Malaysia seperti apa yang dilaksanakan pada tahun lepas melalui program dan misi kerajaan," katanya pada sidang media pertama beliau di sini, hari ini, sejak dilantik menganggotai Kabinet pada 12 Disember 2023.
Selain itu, katanya, pelabur domestik turut memainkan peranan penting merancakkan ekonomi negara.
"Usaha kerajaan adalah bagi memadankan pelabur asing dan pelabur domestik serta menyokong merancakkan ekonomi Malaysia.
"Kementerian Kewangan (MoF) akan terus berbincang untuk membawa semua pihak bersama-sama untuk menjadi pemangkin dalam usaha mengembangkan ekonomi," katanya.
Amir Hamzah berkata, kerajaan turut melihat kepada pelbagai jenis pelaburan yang masuk melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan berharap dapat membawa sektor baharu dan meningkatkan pulangan dari segi pekerjaan.
Sementara itu, katanya, kerajaan juga akan menaikkan lantai yang merujuk kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat agar dapat mewujudkan peluang pendapatan yang berkualiti dan inklusif di samping menambah baik penyediaan perkhidmatan terutamanya pendidikan, kesihatan, infrastruktur asas, serta sistem perlindungan sosial yang lebih meluas.
"Bagi menaikkan lantai, ia berlandaskan isu penggajian dalam negara yang mana konsep gaji minimum serta gaji progresif telah diperkenalkan.
"Dari segi ekonomi, penting bagi rakyat mendapat penggajian yang lebih baik kerana ia membantu mewujudkan kesan berganda dan seterusnya merancakkan ekonomi," katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah turut memberi penjelasan tentang keadaan fiskal negara yang perlu untuk ditangani.
Beliau berkata pada penghujung 2023, hutang negara mencecah RM1.2 trilion atau 63.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan jika dimasukkan jaminan dan liabiliti lain, ia mencecah RM1.5 trilion (melebihi 80 peratus KDNK negara).
"Melihat dari situ, beban kerajaan adalah bagaimana nak servis (menjelaskan) hutang berkenaan. Dalam Belanjawan 2024, bayaran khidmat hutang adalah RM49.8 bilion (16 peratus daripada hasil negara)," katanya.
Menurutnya, Malaysia mencatatkan belanjawan defisit berterusan lebih 25 tahun sejak 1998 dan kekal tinggi berbanding sebelum pandemik Covid-19.
Amir Hamzah berkata, negara pernah mencatatkan lebihan fiskal pada 1993 hingga 1997, oleh itu kerajaan akan terus berusaha menurunkan defisit sedia ada ke tahap yang boleh diurus.
Mengenai fokus perbelanjaan kerajaan pula, beliau berkata keutamaan akan terus diberikan bagi menyediakan pulangan kesejahteraaan kepada rakyat sambil menambah pada tahun ini kerajaan melihat kepada konsep subsidi bersasar bagi menyalurkannya kepada kumpulan yang betul-betul memerlukan.
Dari segi beban kerajaan bagi perbelanjaan mengurus, 97 peratus daripada perbelanjaan kerajaan adalah perbelanjaan komited dan ruang berubah hanya tiga peratus.
Sementara itu, kata Amir Hamzah, daripada 97 peratus perbelanjaan komited berkenaan, 16 peratus adalah bagi membayar hutang, 48 peratus bagi emolumen dan pencen, manakala selebihnya untuk pengurusan lain.
"Justeru, tugas kerajaan Madani adalah untuk memperluas hasil kerajaan agar lebih banyak ruang untuk berbelanja bagi perkara penting agar rakyat dapat kehidupan lebih selesa.
"Apabila kita membuat perubahan, ramai rakyat risau bahawa kerajaan tidak mementingkan mereka, tetapi ini tidak benar kerana kerajaan sentiasa peka dengan kehendak dan kesusahan rakyat.
"Seperti yang dilihat, kerajaan telah meluaskan pelbagai skim bantuan bagi rakyat antaranya seperti program MySARA yang dulunya untuk miskin tegar diteruskan kepada penduduk miskin juga dengan membelanjakan lebih kurang RM700 juta tahun ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!