Bekas majikan tinggalkan bayi pekerja di kaunter hospital
JOHOR BAHRU - Seorang bekas majikan sanggup meninggalkan bayi lelaki pekerja wanitanya di kaunter pertanyaan sebuah hospital swasta di sini baru-baru ini.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, lelaki berkenaan meninggalkan bayi berusia lima hari itu selepas mendapati hospital swasta berkenaan tidak lagi menyediakan khidmat pelindung 'baby hatch'.
Beliau berkata, pihak JKM Johor Bahru menerima maklumat berkaitan bayi lelaki berkenaan dari Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
"Bayi berkenaan dirujuk ke HSA selepas dibawa oleh polis untuk mendapatkan rawatan. Berdasarkan laporan polis pada 19 Disember 2023, pengadu memaklumkan lelaki tersebut meninggalkan bayi itu di kaunter pertanyaan hospital swasta tersebut pada 8.30 pagi, 18 Disember lalu.
"Pihak pengurusan hospital kemudian menempatkan bayi terbabit di taska di hospital itu kerana menjangka waris kanak-kanak itu akan tampil menuntutnya.
"Bagaimanapun selepas tiada sebarang tuntutan dilakukan oleh keluarga, bayi itu dirujuk kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, hasil semakan lelaki yang meninggalkan bayi berkenaan berjaya dikesan polis dan siasatan mendapatinya merupakan bekas majikan kepada ibu kandung bayi tersebut.
"Difahamkan, ibu kandung meminta bantuan lelaki itu untuk menempatkan kanak-kanak di 'baby hatch' yang terdapat di hospital berkenaan namun lelaki itu buntu selepas mendapati perkhidmatan itu tidak disediakan lagi oleh hospital.
"Lelaki itu kemudian bertindak meninggalkan bayi di kaunter pertanyaan hospital sebelum beredar," katanya.
Adnan berkata, hasil pemeriksaan fizikal dan perkembangan kanak-kanak, pegawai perubatan menganggarkan usia bayi terbabit ketika dirujuk kepada HSA baru berusia lima hari dan kini dianggarkan berusia enam minggu.
JKM ujarnya, mengklasifikasikan bayi itu memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.
Menurutnya, JKM juga memohon perintah di bawah Subseksyen 30(7) Akta Kanak-Kanak 2001 untuk bayi berkenaan ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.
Adnan berkata, bayi berkenaan dinamakan sebagai Kaisar Aryan selain berharap waris bayi berkenaan tampil menghubungi JKM bagi membincangkan masa depannya.
Orang ramai yang mengenali waris bayi berkenaan katanya, diharap dapat menghubungi Pelindung JKM di talian talian 07-2230606 atau 07-2232607.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!