Banjir semula selepas empat jam cuci rumah

Abdul Aziz menunjuk parit yang cetek sekali gus mengakibatkan banjir di Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi pada Jumaat. Gambar kecil: Norizan, Mohd Azam
Abdul Aziz menunjuk parit yang cetek sekali gus mengakibatkan banjir di Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi pada Jumaat. Gambar kecil: Norizan, Mohd Azam
A
A
A

KOTA TINGGI - "Belum hilang penat cuci rumah selepas banjir surut pada jam 5 petang semalam, hujan lebat dan air naik semula jam 9 malam tadi (Khamis) ke dalam rumah berserta lumpur," kata Norizan Punijan, 54.

Norizan adalah mangsa banjir Kampung Baru Sungai Mas di sini yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di dewan serbaguna kampung berkenaan sejak 1 pagi Rabu.

Ibu kepada empat anak itu berkata, kejadian berlaku terlalu pantas kerana kedudukan rumahnya yang berada di belakang sungai yang melimpah airnya.

"Pada jam 2 petang semalam seramai 20 pelajar dari sebuah pusat tahfiz di Kota Tinggi membantu keluarga kami mencuci rumah sehingga siap pada jam 5 petang.

"Belum sempat masuk semula ke rumah, air naik semula jam 9 malam tadi. Rasa sedih dan kecewa tapi reda sahajalah dengan apa yang berlaku," katanya ditemui pemberita di PPS berkenaan pada Jumaat.

Seramai 45 mangsa banjir dipindahkan ke PPS di Dewan Serbaguna Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi sejak Rabu.
Seramai 45 mangsa banjir dipindahkan ke PPS di Dewan Serbaguna Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi sejak Rabu.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana semua perkakas dan peralatan elektrik sudah dipindahkan ke tempat tinggi sejak hujung bulan lalu lagi sebagai langkah persediaan.

Jelasnya, persediaan tersebut sudah biasa dilakukan pada setiap hujung tahun kerana biasanya banjir akan melanda pada setiap Januari.

Artikel Berkaitan:

Biasanya kata Norizan, lima rumah termasuk kediamannya paling teruk terjejas di kampung berkenaan kerana berada di kawasan rendah serta begitu hampir dengan sungai.

"Sekarang saya dan empat keluarga lagi sedang menunggu kelulusan pejabat daerah untuk berpindah ke tapak rumah di kampung ini bagi membina rumah baharu untuk mangsa banjir," katanya.

Selain itu, Madrasah Tahfiz Kota Tauhid Kampung Baru Sungai Mas yang menempatkan 13 pelajar dan dua tenaga pengajar turut ditenggelami banjir dan mereka turut berpindah ke PPS berkenaan.

13 pelajar tahfiz antara mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di Dewan Serbaguna Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi, pada Jumaat.
13 pelajar tahfiz antara mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di Dewan Serbaguna Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi, pada Jumaat.

Warden pusat tahfiz berkenaan, Mohd Azam Mohd Zin, 52, berkata, empat kereta milik tenaga pengajar dan penduduk setempat yang parkir di situ ditenggelami banjir kerana tidak sempat memindahkannya ke kawasan selamat.

"Mujur kami sempat memindahkan buku, kitab dan al-Quran ke rak khas yang disediakan termasuk barang elektrik ke tempat tinggi. Banjir kali ini teruk juga berpunca dari sungai dan parit yang cetek depan rumah," ujarnya.

Abdul Aziz abdul Sukor, 59, berkata, sungai di belakang dan parit di depan rumah penduduk sudah terlalu cetek sehingga nampak pasir pada bahagian dasarnya.

"Sudah tiga atau empat tahun sungai tidak dibesarkan. Pertembungan Sungai Felda Mas dan Sungai Ulu Papan berdekatan kampung ini memburukkan lagi keadaan.

"Usaha dan permohonan untuk membesarkan sungai dan parit di kampung ini sudah diajukan kepada pihak berkenaan. Harap dapat dipercepatkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!