Abang rambut perang dapat hadiah motosikal RS150
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penyokong Harimau Malaya yang kisahnya tular kerana menjual motosikal Yamaha LC miliknya untuk menyaksikan perlawanan pasukan itu di Qatar bakal dihadiahkan dengan sebuah motosikal baharu.
Menerusi hantaran seorang pengguna Facebook, Ahmad Alhafiz Najmi, motosikal jenis Honda RS150 akan diserahkan kepada Derrick Gan setelah perkongsiannya mengenai ganjaran itu dikongsi lebih 10,000 orang di media sosial berkenaan.
"Dah capai 10,000 (perkongsian) dalam tiga jam. Terima kasih semua, saya sudah capai KPI (petunjuk prestasi utama).
"Saya masih di Borneo, Ahad penerbangan balik ke Semenanjung. Isnin saya sibuk (kerana) ada kerja dan Selasa kita uruskan penghantaran.
"Siap tukar nama, geran halal. Tuan badan nak jual balik motor ini pun tiada masalah, dah jadi hak milik sendiri," katanya.
Sebelum ini sebuah video memaparkan Derrick dilihat menangis tular ketika meraikan gol kedua pasukan negara ketika perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 menentang Korea Selatan di Stadium Al Janoub.
Tangisan lelaki itu mendapat perhatian apabila turut tular kisahnya yang sanggup menjual motosikalnya untuk mencari dana bagi menyaksikan penampilan Harimau Malaya di Qatar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!