Peruntukan khas pelancongan: Perlis akan adakan pertemuan dengan King Sing
KANGAR - Kerajaan negeri Perlis akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu peruntukan khas pelancongan yang dimohon.
Exco Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan Perlis, Wan Badariah Wan Saad berkata, tindakan susulan akan dibuat dalam tempoh terdekat selain pertemuan tersebut.
Menurutnya, peruntukan berkenaan amat diperlukan untuk merancakkan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 terutama untuk aktiviti promosi dan penambahbaikan lokasi-lokasi pelancongan.
“Insya-ALLAH saya dan Menteri Besar Perlis akan adakan pertemuan dengan Menteri MOTAC secepat mungkin untuk merungkai pertikaian berbangkit.
“Setakat ini, peruntukan diterima Perlis adalah untuk infrastruktur menerusi agensi-agensi yang dimohon pada tahun lepas, hanya permohonan peruntukan khas (tambahan) ini belum mendapat maklum balas,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Perlis kecewa apabila tidak menerima maklum balas berhubung peruntukan daripada MOTAC untuk tujuan naik taraf lokasi pelancongan sempena TMPs 2024-2025.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, King Sing tidak memberi sebarang jawapan berhubung permohonan untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara itu.
Menurutnya, kerajaan negeri memohon peruntukan RM4 juta bagi menaik taraf lapan lokasi pelancongan di Perlis untuk memberi keselesaan kepada pengunjung sempena TMPs 2024-2025.
Wan Badariah memaklumkan, permohonan peruntukan khas tersebut telah dibuat kepada MOTAC melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) sebelum November lalu.
“Kerajaan Perlis sentiasa terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan MOTAC dalam membangunkan sektor pelancongan negeri,” katanya.
Sebelum ini, King Sing mendakwa tiada wakil kerajaan Perlis membangkitkan isu permohonan peruntukan khas dalam mesyuarat di Putrajaya 14 November lalu.
Beliau juga mendakwa Exco kerajaan negeri Perlis tidak hadir dalam mesyuarat tersebut sedangkan Exco pembangunan pelancongan negeri-negeri lain hadir dalam mesyuarat berkenaan setelah dijemput, namun Perlis hanya menghantar pegawai MOTAC sebagai wakil.
Wan Badariah kemudian tampil menafikan dakwaan dan memuat naik gambar beliau hadir dalam mesyuarat berkenaan di laman Facebook miliknya.
King Sing turut memaklumkan, pada tahun lalu sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan dan disalurkan bagi tujuan promosi pelancongan di Perlis melalui pelbagai acara dan program.
Berdasarkan data dikeluarkan, lebih 3.2 juta pelancong berkunjung ke Perlis yang direkodkan dari Januari sehingga Oktober 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!