Dua rakan didakwa pecah rumah libat kerugian lebih RM1 juta
IPOH - Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah rumah melibatkan kerugian lebih RM1 juta pada bulan lepas.
Tan Kok Leong, 56, dan Chan Weng Aon, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan pecah rumah milik Tan Soo Seng dengan niat hendak mencuri barang antaranya jam tangan mewah jenama Rolex dan IWC, barangan kemas dan komputer riba bernilai RM1.25 juta di alamat No 11, Persiaran Shanghai Mansion Park di sini pada kira-kira pukul 1.16 tengah hari, 12 Disember lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 ke atas setiap tertuduh mengambil kira kerugian dalam kes itu, namun peguam Mohamad Khazali Yin memohon jaminan rendah atas alasan Kok Leong yang bekerja sebagai tukang kayu hanya berpendapatan RM1,500 dan perlu menanggung ibunya yang berusia 90 tahun dan sudah uzur.
Mohamad Khazali turut merayu jaminan rendah dikenakan terhadap Weng Aon atas alasan anak guamnya itu yang bekerja sebagai jurujual perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak serta ibu bapa yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis, selain mengambil kira mereka perlu melakukan persiapan sambutan Tahun Baru Cina yang semakin hampir.
Norita kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 atas setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali manakala pasport mereka diserahkan kepada mahkamah, selain tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 13 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan dilaporkan berkata dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan peniaga berusia 28 tahun mengalami kerugian harta benda antaranya koleksi jam tangan mewah pelbagai jenama termasuk Rolex GMT Master II dan IWC Annual Calendar Big Pilot Gold serta barang kemas, telefon bimbit dan komputer riba. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!