Curi udang, sotong, penunggang p-hailing dipenjara dua minggu
KUALA LUMPUR - Gara-Gara mencuri udang dan sotong di sebuah pasar, seorang penunggang p-hailing dihukum penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu selepas Khamirul Azmi Basli, 35, mengaku mencuri bahan mentah terbabit yang kesemuanya bernilai RM350 milik seorang peniaga di Pasar Datuk Keramat pada jam 10.30 malam 9 Januari lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda manakala bagi kesalahan kali kedua, pesalah perlu dihukum penjara dan boleh dikenakan denda atau sebatan.
Wong memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu 22 Januari lepas.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran, bagaimanapun Khamirul Azmi yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.
"Saya mengaku bersalah kerana mencuri tetapi saya mencuri bukan untuk jual tetapi untuk buat makan. Saya minta maaf dan janji tidak akan buat lagi, mohon jasa baik Yang Arif untuk ringankan hukuman saya.
"Saya juga mempunyai seorang ibu yang kini tinggal seorang di rumah,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!