Lelaki Colombia didakwa pecah rumah curi beg berjenama, cincin berlian

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga Colombia didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memecah masuk tiga rumah di Damansara membabitkan kerugian lebih RM50,000, tahun lepas.

Raul Ferney Nino Quitian, 62, penganggur, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad dan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri barang berharga antaranya beg tangan Chanel, empat bentuk cincin emas putih dan berlian yang melibatkan kerugian berjumlah RM53,800 di tiga rumah di Damansara Perdana dan Damansara Jaya di sini antara 7 malam hingga 10.30 malam pada 14 dan 17 Dis tahun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun dan Nurul Sofea Jaysal masing-masing tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang diwakili peguam M.S Jasmine Faith kerana tiada rekod tertuduh keluar masuk ke negara ini meskipun mempunyai pasport.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 8 Mac untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Sebelum ini media melaporkan, polis berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah selepas menahan enam individu termasuk dua lelaki warga Colombia dan empat warga tempatan termasuk dua wanita dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur 3 Jan lepas.

Hasil siasatan polis mendapati sindiket itu bergerak aktif sejak Oktober lepas dengan menyasarkan rumah-rumah mewah dan menyamar sebagai penghantar barang bagi mengelak kegiatan dikesan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!