Pilpres 2024: Cak Imin dakwa rakyat Indonesia anggap Jokowi tak neutral
JAKARTA - Calon wakil presiden (cawapres), Muhaimin Iskandar atau Cak Imin mendakwa rakyat Indonesia membantah Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang dikatakan tidak neutral pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024, lapor CNN Indonesia.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Himpunan dan Penggabungan Sukarelawan Basra Amin di Kuta, Kabupaten Badung Bali pada Jumaat.
Cak Imin dalam ucapannya mengulas kenyataan Jokowi yang mengatakan presiden dan menteri dibenarkan berkempen serta berpihak pada Pilihan Raya Umum (Pemilu).
Katanya, kenyataan Jokowi itu dibantah hampir seluruh rakyat Indonesia.
Menurut Cak Imin, beliau yang sudah membuat lawatan di beberapa tempat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) mengesahkan untuk menjadi calon naib presiden, berpasangan dengan Anies Baswedan semasa Pilpres 2024 mendapati semua rakyat mahu mengubah nasib mereka.
“Hendak bantah tidak boleh kerana banyak ajaran agama menyuruh kita tawaduk (rendah hati) atau tawakal.
“Tetapi semasa saya dan Anies datang, semua orang sambut kami dengan penuh semangat. Ia sebab apa, sebab kami cakap hendak melakukan perubahan. Insya-ALLAH suara perubahan tidak dapat dihalang oleh sesiapa.
“Presiden berkata semalam (Khamis) dia dibenarkan berkempen tetapi semua membantah. Tidak ada yang tidak membantah, semua membantah dan kemudian pihak istana berkata kenyataan presiden disalah erti,” sindir Cak Imin.
Beliau menegaskan Jokowi sebagai presiden mesti berkecuali kerana beliau adalah pelindung bagi seluruh rakyat Indonesia tanpa terkecuali.
“Presiden adalah institusi tinggi, adakah itu benar? Bukan sahaja politik, kuasa, kedudukannya tinggi tetapi presiden mesti melindungi dan berpihak kepada semua rakyat tanpa membezakan antara satu sama lain,” ujarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!